Pemusatan Fungsi Promosi Pelaburan dan Pemasaran Malaysia di Bawah MIDA Menjelang 1 Januari 2024
Fungsi promosi pelaburan dan pemasaran di peringkat IPA Persekutuan akan dipusatkan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelang 1 Januari 2024. Perkara ini dibincangkan semasa perjumpaan pertama Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan (Investment Coordination Committee Meeting – ICCM) yang baharu sahaja diaktifkan semula.
Pengaktifan semula ICCM merupakan salah satu keputusan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 2/2023. Keputusan tersebut bertujuan untuk memperkukuh landskap Agensi Penggalakan Pelaburan (Investment Promotion Agency – IPA) negara dengan melaksanakan, antara lainnya, penyelarasan fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan secepat mungkin.
Penyelarasan ini penting bagi memastikan tiada pertindihan fungsi yang bakal merumitkan perjalanan pelabur (investor’s journey) di Malaysia. Prinsip pendekatan menyeluruh Kerajaan (whole-of-Government) dan pendekatan menyeluruh Negara (whole-of-nation) ini juga bertujuan menambahbaik ekosistem pelaburan dan perindustrian yang kondusif bagi para pelabur.
ICCM dipengerusikan oleh YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dianggotai oleh kementerian dan agensi-agensi berkaitan pelaburan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Dalam menyokong matlamat Ekonomi MADANI, ICCM akan menyelaraskan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri, antara lainnya bagi:
- Memperkukuhkan ekosistem perniagaan dan perindustrian (termasuk infrastruktur dan bakat) bagi menyokong pertumbuhan sektor-sektor baharu dan sedia ada;
- Mempergiatkan tarikan masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan mengukuhkan kepentingan pelaburan langsung domestik (DDI);
- Mensasarkan pelaburan strategik yang menyumbang kepada pencapaian teras-teras Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA); dan
- Menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan membangunkan jaguh tempatan.
Mesyuarat pertama ICCM baru-baru ini turut membincangkan penyelarasan rancangan pembangunan industri antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, termasuk membangunkan kluster ekonomi seperti yang dinyatakan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). ICCM juga membincangkan status projek-projek pelaburan yang akan dipercepatkan melalui kerjasama erat antara MIDA dan semua IPA di peringkat Persekutuan dan Negeri dalam memantau, memudahcara dan melaporkan pelaksanaan projek.
ICCM ini melengkapi peranan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) (Investment and Trade Action Coordination Committee – ITACC) yang telah ditubuhkan pada 16 Oktober 2023 dan turut dipengerusikan oleh YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz. Tujuan utama penubuhan JTPPP adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pelaburan dan perdagangan, terutamanya yang bersifat strategik dan ikonik.
KEMENTERIAN PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI
23 NOVEMBER 2023
Mengenai MITI
MITI adalah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global. Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju.
Pertanyaan media:
Unit Komunikasi Strategik, MITI
Tel +603 6200 0082
Fax +603 6206 4293
E-mail [email protected]