Pelanjutan Penangguhan Pematuhan Syarat Penggajian Guna Tenaga 80:20 Bagi Sektor Pembuatan Dalam Lesen Pengilang
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ingin memaklumkan bahawa pelanjutan penangguhan pematuhan syarat penggajian guna tenaga 80:20 bagi sektor pembuatan akan terus berkuat kuasa sehingga mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) dilaksanakan sepenuhnya. Ini memberikan kelonggaran kepada industri untuk menyesuaikan keperluan tenaga kerja mereka dengan lebih fleksibel, tanpa menjejaskan objektif kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Kerajaan secara berterusan menggalakkan sektor pembuatan beralih kepada automasi dan teknologi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, YAB Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa Kerajaan akan melaksanakan MTLM pada awal tahun 2025 untuk menggalakkan automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat. Bagi sektor pembuatan, MTLM bakal mengambil alih dasar 80:20 yang termaktub dalam syarat Lesen Pengilang. Kerajaan juga mengumumkan bahawa levi yang dikutip akan disalurkan semula kepada pihak industri untuk meningkatkan penggunaan teknologi serta automasi, meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan pekerja asing yang sekali gus bakal menyumbang kepada peningkatan daya saing Malaysia di peringkat global.
Walau bagaimanapun, mengambil kira pelbagai faktor dan maklumbalas dari sektor-sektor industri, penangguhan pematuhan dasar 80:20 akan terus dilanjutkan sehingga MTLM dilaksanakan sepenuhnya.
Sementara itu, MITI akan terus memberi fokus kepada peningkatan kemahiran pekerja tempatan sebagai salah satu langkah utama untuk memastikan tenaga kerja tempatan dapat bersaing dalam ekonomi global yang semakin berteknologi tinggi. Peningkatan kemahiran ini bertujuan untuk menyediakan pekerja yang lebih berkemampuan dan dapat menyumbang kepada pendapatan bermaruah serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
MITI juga akan terus berusaha untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan sektor pembuatan dapat terus berkembang dengan lebih mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
KEMENTERIAN PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI
16 DISEMBER 2024
Tentang MITI:
MITI adalah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global. Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju.