MOU MCMC – MIDA Bantu PKS Dan Sektor Vertikal Melalui Manfaat Rangkaian 5G
KUALA LUMPUR, 4 Julai 2024 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalankan program serta inisiatif dengan memanfaatkan rangkaian 5G dalam sektor vertikal serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
MoU ini juga meningkatkan akses teknologi dan infrastruktur 5G untuk sektor vertikal serta PKS menerusi manfaat pendigitalan. MCMC akan menyediakan sokongan teknikal dan latihan bagi integrasi 5G di samping menekankan kepentingan teknologi 5G kepada industri yang terlibat. MIDA pula mempromosikan kesedaran manfaat 5G kepada industri.
Majlis pertukaran MoU antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din dengan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Sikh Abdul Majid, disaksikan oleh Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz.
Menurut Tan Sri Mohamad Salim, “Kerjasama antara MCMC dengan MIDA membuktikan pendekatan kolaboratif sebagai langkah terbaik untuk memacu inisiatif 5G sekali gus memastikan penerimagunaan 5G yang lebih efisien dan pantas dalam menghadapi pelbagai cabaran.”
Sikh Shamsul Sikh pula menyifatkan, “Kolaborasi ini menjadi salah satu pemangkin utama dalam memacu adaptasi teknologi 5G dan transformasi digital, terutamanya PKS di Malaysia. MIDA komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, terutamanya dalam memastikan liputan 5G tersedia di kawasan perindustrian. Integrasi teknologi 5G ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, malahan menjadikan Malaysia sebagai peneraju inovasi digital di rantau ini, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global.”
Pemeteraian MoU ini selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan merupakan langkah penting ke arah merealisasikan matlamat ekonomi digital Malaysia untuk menyumbang 25.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.
Inisiatif ini juga bertepatan dengan matlamat yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), khususnya dalam misi Tech Up for a Digitally Vibrant Nation yang menekankan kepentingan untuk mengadaptasi teknologi digital bagi mewujudkan 3,000 kilang pintar di negara ini.
Hingga 31 Mei 2024, capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mencecah 81.7% dan melibatkan sebanyak 14.1 juta langganan 5G.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa, Ketua Setiausaha MITI, YBhg. Datuk Hairil Yahri Yaacob, dan Pengerusi MIDA, YBhg. Tan Sri Sulaiman Mahbob.
Dikeluarkan oleh:
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC & MIDA