Indium labur RM250 juta di Pulau Pinang
11 Mei 2022
Indium Corporation, firma pembekal bahan industri pemasangan elektronik dan pembungkusan semikonduktor dari Amerika Syarikat (AS) mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan pelaburan baru sebanyak RM250 juta (AS$57 juta).
Pelaburan itu adalah bagi pembinaan kemudahan baharunya di Pulau Pinang yang dijangka akan memulakan operasi dalam dua fasa bermula pada penghujung 2022 dan 2023.
Projek pelaburan Indium ini juga dijangka akan mencipta 88 pekerjaan baharu bernilai tinggi.
Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata langkah Indium meningkatkan pelaburannya di Malaysia adalah tepat pada masanya bagi membantu pemulihan ekonomi negara untuk beralih ke arah endemik.
Beliau berkata, ia juga membantu meningkatkan kekuatan negara dalam industri elektronik melalui kemajuan penyelesaian bahan elektronik dan ekosistem yang lebih besar.
“Pelaburan ini turut memberikan batu loncatan kepada bakat tempatan dalam industri elektronik, selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Indium juga merancang untuk memanfaatkan keupayaan Malaysia dalam operasi pembuatan dan telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan makmal inovasi penyelidikan dan pembangunannya serta kemudahan latihan.
“Ini menunjukkan syarikat global yakin terhadap ekosistem tempatan dan bakat berkemahiran tinggi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Indium Corporation di Washington DC, AS.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata penubuhan kemudahan pengeluaran baharu Indium di Malaysia adalah tanda keyakinan terhadap pertumbuhan berterusan negara.
Beliau berkata, didorong oleh NIA dan disokong oleh dasar mesra perniagaan Malaysia, infrastruktur yang luas, industri sokongan yang teguh dan tenaga kerja berbakat, MIDA sentiasa menyokong pelabur luar untuk menjadi peserta utama dalam rantaian nilai global.
Ia juga katanya akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pembuatan global, memberi manfaat kepada industri dan rakyat.
“Oleh itu, kita memberi penghormatan kepada Indium, yang membekalkan komponen penting dalam rantaian nilai industri elektronik kerana memilih untuk meluaskan kehadirannya di sini.
“Kami berharap untuk melihat Indium berkembang ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.
Sumber: Berita Harian