Taman Pusat Data Hijau YTL di Johor dilancarkan
21 Apr 2022
Subsidiari YTL Power International Bhd, YTL Data Center Holdings Pte Ltd (YTL DC) mengumumkan bahawa kerja-kerja bagi kampus pusat data di Johor yang berkapasiti 72-megawatt (MW) daripada 500MW, pertama di Malaysia yang dijana oleh tenaga solar.
Pengarah Urusan YTL Power Datuk Yeoh Seok Hong berkata pusat data pertama 72MW itu dijangka beroperasi pada suku pertama 2024.
Terletak 30 kilometer dari Singapura di wilayah Iskandar, Johor, Taman Pusat Data Hijau YTL akan menawarkan kepelbagaian dalam tenaga dan ketersambungan di tapak perindustrian yang besar, yang mana 111.1 hektar akan didedikasikan bagi pembangunan pusat data.
Ini memberikan peluang yang sangat baik untuk pelanggan yang mencari pusat data yang mesra alam bagi memenuhi keperluan mereka.
“Dengan pembangunan Taman Pusat Data Hijau YTL, kami memacu pengembangan platform infrastruktur kami memasuki zaman digital dengan menggabungkan kepakaran kami dalam tenaga boleh diperbaharui, pembangunan hartanah, telekomunikasi dan pusat data.
“Projek ini akan menjadi produk perdana kami dalam visi pusat data bersepadu kami bagi melayani para pelanggan kami di rantau Singapura yang lebih luas serta sebagai pemangkin untuk pengembangan serantau kami di ruang ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yeoh , YTL melalui projek ini akan memanfaatkan kepakarannya dalam pembinaan infrastruktur, yang mampu menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan dan rakan kongsi.
Rancangan masa depan YTL DC adalah merangkumi penggunaan kepakaran kumpulan dalam tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi serta pembinaan bagi membangunkan kampus pusat data baharu di Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Taman Pusat Data Hijau YTL akan mempunyai sambungan gentian gelap ke Singapura kerana ia berdekatan dengan negara berkenaan.
“Ini membentangkan faedah kepada syarikat yang beroperasi di Singapura yang ingin berkembang, melengkapkan dan mengoptimumkan proses pusat data mereka. Sambungan gentian gelap akan menyediakan sambungan rangkaian kependaman langsung ultra rendah ke pusat data di Singapura dan lokasi lain di Malaysia,” katanya.
Disember lepas, YTL DC mengumumkan pengambilalihan Dodid Pte Ltd, pemilik pusat data tahap III berkapasiti 12.5MW di Singapura yang merangkumi 42,000 kaki persegi.
Di samping itu, kerja-kerja sedang dijalankan untuk mengembangkan dan menaik taraf kemudahan Pusat Data 5MW kumpulan itu di Sentul, Kuala Lumpur ke tahap III, yang menawarkan pelanggan tapak yang strategik di tengah-tengah Kuala Lumpur kerana berdekatan dengan hub pertukaran internet utama.
Sumber: Bernama