IPEF sedia platform dialog dengan AS, rakan perdagangan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


IPEF sedia platform dialog dengan AS, rakan perdagangan

IPEF sedia platform dialog dengan AS, rakan perdagangan

23 Mei 2022

Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF), menyediakan rangka kerja strategik, platform dialog dua hala dan pelbagai hala untuk urusan perdagangan dan pelaburan bagi Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dan rakan Rangka Kerja, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini.

Presiden AS, Joe Biden akan melancarkan IPEF itu lewat hari ini di samping Malaysia dan negara rakan dagang lain iaitu Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

“Saya optimis kerjasama ini mengiktiraf bahawa kepentingan dasar ekonomi kita di rantau ini adalah saling berkait dan mengukuhkan pembabitan ekonomi dalam kalangan rakan dagang adalah penting bagi pertumbuhan, keamanan dan kemakmuran yang berterusan,” katanya dalam ciapannya di laman Twitter beliau hari ini.

Mohamed Azmin berkata, rakan Rangka Kerja itu akan terbabit dalam rundingan mengenai bidang kerjasama di bawah empat tonggak iaitu perdagangan, rantaian bekalan, tenaga bersih, penyahkarbonan dan prasarana serta cukai dan anti rasuah.

“Ini akan mengukuhkan kerjasama ekonomi serantau dan (akan ada perkongsian) komitmen berkaitan dengan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, adil, inklusif, saling berkait, berdaya tahan, terjamin dan makmur untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif,” katanya.

Biden tiba di Jepun pada Ahad untuk melancarkan IPEF bagi pembabitan ekonomi AS yang lebih meluas dengan rantau Indo-Pasifik dan juga untuk mengukuhkan hubungan dengan Jepun.

Kemudiannya, pada pelancaran IPEF yang diadakan secara maya hari ini, Mohamed Azmin berkata, Malaysia komited sepenuhnya terhadap kejayaan rangka kerja itu apabila kerajaan memulakan perbincangan kolektif ke arah rundingan empat tonggak tersebut pada masa depan.

Beliau berkata, Malaysia percaya IPEF perlu menjadi satu platform inklusif dan adalah penting untuk terus melibatkan semua negara anggota ASEAN dalam semua dimensi kerjasama antara AS dan rantau itu.

“Saya berharap rangka kerja itu akan membuka peluang baharu untuk meneroka dan meningkatkan kerjasama dalam kepentingan bersama, seperti meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, ekonomi digital dan tenaga bersih,” katanya.

Menurutnya, IPEF boleh bertindak sebagai struktur meluas bagi resolusi kolaborasi isu-isu menerusi kerjasama, pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal.

Seterusnya ia boleh berfungsi sebagai pendorong untuk meningkatkan daya saing, daya tahan ekonomi dan pemulihan pasca-pandemik bagi pertumbuhan serantau yang mampan dan inklusif, katanya.

“Dengan memberikan tumpuan khas kepada agenda perdagangan dan pelaburan, kita berpeluang untuk meraih manfaat menerusi pendekatan yang lebih bermatlamat bagi mencapai objektif bersama untuk menjadikan Indo-Pasifik sebagai rantau yang terbuka, berhubung, makmur, berdaya tahan dan terjamin,” kata Mohamed Azmin.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon