Pelaburan Insulet di Johor akan bawa limpahan positif - Azmin - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan Insulet di Johor akan bawa limpahan positif – Azmin

Pelaburan Insulet di Johor akan bawa limpahan positif – Azmin

02 Jun 2022

Pelaburan Insulet Corporation bernilai kira-kira US$200 juta di Johor akan membawa limpahan positif termasuk penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dalam bidang teknologi tinggi, program pembangunan vendor tempatan strategik dan lain-lain.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaburan yang dicadangkan syarikat itu adalah seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kita akan terus mempertingkatkan infrastruktur yang diperlukan untuk Malaysia menjadi ‘Naungan Bakat’, memacu perniagaan dan inovasi di Asia dan dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Khamis.

Berlandaskan RMK12, industri peralatan perubatan akan dipacu menjadi antara industri penting yang akan mendorong Malaysia berada dalam trajektori teknologi tinggi dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menumpukan usaha menarik pelaburan asing berkualiti ke dalam Malaysia dengan penghebatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata kemasukan Insulet ke Malaysia merupakan bukti daya tarikan negara dalam membawa masuk pembuat produk peralatan perubatan premium dan berteknologi tinggi.

“Ia konsisten dengan aspirasi kita untuk menjadikan negara sebagai hab pembuatan peralatan perubatan serantau untuk memenuhi keperluan ASEAN serta bahagian lain di dunia. Kita mengalu-alukan pengembangan global Insulet dan penyertaan tambahannya dalam ekosistem industri peralatan perubatan Malaysia yang terus berkembang,” katanya.

Menurut MIDA, Malaysia berada di kedudukan baik untuk menjadi hab pembuatan bagi industri peralatan perubatan di Asia.

Pada masa ini Malaysia menempatkan lebih 200 pembuat, dengan lebih 30 syarikat multinasional peralatan perubatan menghasilkan peralatan perubatan bernilai tambah tinggi.

“Pembuat peringkat kedua dan ketiga alat ganti dan komponen peralatan perubatan telah meningkatkan peluang untuk vendor tempatan disepadukan kepada rantaian bekalan global industri ini,” jelas agensi itu.

Terdahulu hari ini, Insulet Corp iaitu syarikat peralatan perubatan berpangkalan di Amerika Syarikat dan beribu pejabat di Acton, Massachusetts, mengadakan majlis pecah tanah di Gelang Patah, kira-kira 30 minit dari bandar raya Johor Bahru, bagi kemudahan pembuatan baharunya untuk menghasilkan Sistem Pengurusan Insulin Omnipod.

Kemudahan pembuatan baharu itu akan mendorong peningkatan kapasiti pembuatan sedia ada Insulet di Amerika Syarikat dan China.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon