Johor jangka tarik lebih banyak pelaburan tahun ini
07 Jun 2022
Johor menjangka dapat menarik lebih banyak pelaburan pada tahun ini susulan pembukaan semula sempadan negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han.
Beliau berkata, ini berikutan pihaknya mendapat banyak pertanyaan mengenai pelaburan di Johor terutama dari Korea, China dan Singapura termasuk membabitkan sektor pembuatan serta perkhidmatan.
Katanya, nilai pelaburan hampir RM7 bilion pada tahun lalu terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan menguatkan lagi keyakinan kerajaan negeri untuk menyasarkan pelaburan yang lebih baik pada tahun ini.
“Pada tahun ini, kita menjangka Johor akan dapat mencapai satu angka yang lebih baik kerana sempadan antarabangsa sudah dibuka dan menerima banyak pertanyaan daripada pelabur luar negara terutama dari Singapura, China dan Korea Selatan.
“Justeru, Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan pihak awam dan swasta termasuk dari luar Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan dalam membantu pelabur melabur di Johor,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian cawangan Deloitte Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng dan Ketua Pegawai Kewangan Johor Corporation, Rozaini Mohd Sani.
Ting Han berkata, kerjasama daripada firma perunding kewangan seperti Deloitte juga mampu membantu Johor menarik lebih banyak pelaburan terutama dari Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik.
Beliau berkata, Johor mencatatkan nilai pelaburan RM6.78 bilion pada 2020 dan meningkat 2.5 peratus iaitu hampir RM7 bilion pada 2021.
“Bagi pelaburan Johor pada tahun ini, kita belum mendapat lagi (sasaran) sebab kerajaan ini masih baharu dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka memberikan amanat dalam masa terdekat dan akan mengumumkannya nanti,” katanya.
Sumber: Bernama