Firma Korea Selatan SPC Group bina hab bakeri halal RM130 juta di Johor - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Firma Korea Selatan SPC Group bina hab bakeri halal RM130 juta di Johor

Firma Korea Selatan SPC Group bina hab bakeri halal RM130 juta di Johor

17 Jun 2022

Paris Baguette Singapore yang dimiliki oleh firma Korea Selatan, SPC Group, akan melabur sebanyak RM130 juta bagi membangunkan pusat pengeluaran bakeri dan pengedaran pertama Paris Baguette dengan pensijilan halal di Johor.

Dalam kenyataan hari ini, SPC berkata pembinaan pusat berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dan beroperasi pada Jun 2023 selain menyediakan kira-kira 100 peluang pekerjaan baharu.

“Pusat SPC yang berpangkalan di Johor itu akan mengeluarkan kira-kira 100 produk bakeri seperti roti, kek dan pencuci mulut yang dibekal ke pelbagai cawangan Paris Baguette di negara-negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

“Kemudahan itu akan turut berperanan sebagai hab pengeluaran dan pengedaran bagi tujuan pembekalan ke pasaran halal di masa depan seperti di negara-negara Timur Tengah,” katanya.

Pengerusi SPC Group Huh Young-in berkata pusat itu akan menjadi asas bagi pengembangan perniagaan syarikat itu di Asia Tenggara selain membantu dari segi menembusi pasaran Timur Tengah.

“SPC Group juga berharap untuk turut sama menyumbang kepada pasaran makanan halal global yang luas  dengan potensi nilainya melebihi US$2 trilion.

“Kemudahan baharu di Johor itu berkeluasan 16,500 meter persegi dan terletak di Taman Teknologi Nusajaya (NTP).

“Malah, NTP merupakan sebuah lokasi strategik dengan pelbagai akses ke lapangan terbang dan pelabuhan antarabangsa di Singapura mahu pun Malaysia yang menghubungkan semua bandar-bandar utama di Asia selain dapat menyokong usaha pengembangan perniagaan di Asia Tenggara dan Timur Tengah,” katanya.

Huh berkata, selain faktor lokasi yang strategik dan dasar-dasar yang mesra perniagaan, Malaysia juga merupakan sebuah destinasi pelaburan bagi SPC Group berikutan landskap halal yang terdapat di negara ini.

Menurutnya, syarikat terbabit juga akan terus melabur secara agresif bagi mempercepat usaha pengembangannya di peringkat global.

SPC Group juga menyasarkan untuk membina sebuah pusat pengeluaran dan pengedaran tambahan global di Malaysia.

Selain itu, syarikat tersebut akan turut memanfaatkan pensijilan halal berkenaan dengan menumpukan pasaran Muslim yang mewakili kira-kira 24 peratus atau 1.9 bilion daripada jumlah penduduk dunia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon