Sabah bakal raih manfaat kerjasama dengan Dongnam, CCB di POIC Lahad Datu
18 Jun 2022
Kerjasama antara Sabah dengan syarikat China dan Korea Selatan di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, dijangka memberi manfaat kepada negeri tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah, Datuk Fredian Gan.
Menurutnya, POIC Lahad Datu telah memeterai perjanjian kerjasama dengan pengendali perkapalan dan logistik Korea Selatan, Dongnam A Circulater Co. Ltd dan China Construction Bank (CCB), masing-masing pada 30 Julai, 2021 dan 8 April, 2022.
“Malah, kehadiran mereka sejak tiga hari lepas untuk turun padang dan mengunjungi kemudahan kita sebaik mendapat peluang (pasca-COVID-19), jelas membuktikan kesungguhan mereka. Kunjungan mereka juga bertujuan melihat sendiri keadaan bandar Lahad Datu serta POIC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
POIC Sabah kini dalam proses membangunkan taman perindustrian POIC Lahad Datu dan mengoperasikan prasarana pelabuhan bersepadu di Pantai Timur Sabah di Lahad Datu.
Delegasi CCB telah diketuai oleh Naib Presiden Kanan Pembangunan Strategiknya Wang Jiayang manakala pihak Dongnam diketuai oleh Presidennya, Su Man Hwang.
Gan berkata, langkah Dongnam untuk beroperasi di Lahad Datu juga dapat menggalakkan aliran keluar masuk kargo di daerah itu selain menarik minat pelabur membuka kilang dengan memanfaatkan POIC Lahad Datu sebagai hab bahan mentah seperti minyak sawit, rumpai laut, petroleum dan mineral.
Menurutnya, kemasukan Dongnam yang berpangkalan di Busan ke POIC Lahad Datu dijangka dapat membuka pelbagai potensi sumber asli di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP EAGA) dengan menjadikan Lahad Datu sebagai pangkalan yang dipadankan dengan teknologi dari Korea Selatan.
“Laluan perkapalan global Dongnam merupakan rangkaian pelabuhan sedia ada dengan hubungannya dapat membantu Pelabuhan POIC mendapatkan kedudukan dalam pelabuhan global dan dalam kalangan komuniti pelabuhan,” katanya.
Bagi CCB pula, Gan berkata kerjasama dengan sebuah gergasi perbankan milik kerajaan China dapat membantu usaha POIC Sabah menarik pelabur dari negara tersebut.
“Kenyataan Menteri Luar China Wang Yi mengenai hasrat Beijing meninjau peluang pelaburan dalam sektor minyak sawit Sabah membuktikan bahawa kehadiran kita telah disedari dan usaha kita turut membuahkan hasil.
“Terdapat beratus-ratus syarikat China yang melabur di Semenjung Malaysia dan kita berharap kerjasama dengan CCB akan menarik tumpuan pelabur ini ke arah Sabah pula,” katanya.
Gan berkata sebagai sebuah syarikat milik negeri, POIC Sabah berharap untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan sektor swasta bagi meneroka peluang perniagaan dengan dua ekonomi industri terbesar tersebut.
“Susulan penyertaan CCB dan Dongnam, peluang kini terbuka luas untuk Sabah mendapat akses banyak pelaburan langsung asing dan yang utama — sesuatu yang disasarkan oleh Sabah menerusi rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya.
“Kesemua delegasi itu ternyata kagum dengan hasrat kita membabitkan wilayah BIMP-EAGA dan berharap dapat memuktamadkan beberapa perjanjian tidak lama lagi,” katanya.
Delegasi Dongman dan CCB turut menemui Pegawai Daerah Lahad Datu Mohammad Ayub Yakub yang memberi taklimat mengenai perancangan projek pihak berkuasa tempatan serta proses kelulusan berkaitan.
Sumber: Bernama