MIDA komited bina rantaian bekalan elektronik berdaya tahan, mampan di ASEAN – CEO
21 Jun 2022
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus komited untuk membina rantaian bekalan elektronik yang berdaya tahan dan mampan di Malaysia dan dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini berkata, MIDA akan menjalankan pelaburan yang berkualiti tinggi dan berpandukan teknologi untuk mendorong pembangunan sosioekonomi dan pertumbuhan perdagangan.
“Selain peserta industri tempatan, kami sedang memperluas manfaat ekosistem pembuatan kami terhadap perniagaan dan jenama global,” katanya semasa pelancaran SEMICON Asia Tenggara 2022.
Arham berkata pendigitalan dan mengembangkan permintaan pengguna terhadap elektronik akan memacu perubahan yang berterusan pada tahun-tahun akan datang berikutan peluang yang tidak terbatas.
“Seperti yang digariskan dalam inisiatif Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), terdapat ruang untuk kami berkembang.
“Membangunkan kluster dan inovasi baharu dalam bidang-bidang sedia ada akan mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi, mengembangkan rantaian bekalan serantau dan global, serta meningkatkan usaha kami untuk menjalankan pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Arham berkata Malaysia merupakan penempatan kepada lebih 5,000 pelabur dari lebih 40 negara.
“Pada suku pertama 2022, Malaysia terus menarik sejumlah RM42.8 bilion pelaburan diluluskan dengan industri elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang RM19 bilion dan 13,700 peluang pekerjaan baharu,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kepentingan Pulau Pinang dalam industri E&E adalah diperakui memandangkan negeri itu menyumbang lebih lima peratus daripada jualan semikonduktor global, membentuk hampir 60 peratus daripada eksport E&E Malaysia.
“Dengan nilai eksport yang tinggi pada sepanjang masa bernilai RM364 bilion, Pulau Pinang mengungguli senarai negara pada 2021.
“Pulau Pinang turut dikenali sebagai hab serantau bagi pembuatan peralatan bahagian depan dan belakang, memenuhi keperluan industri E&E di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.
SEMICON Asia Tenggara 2022, perhimpunan utama di rantau ini bagi industri semikonduktor dan mikroelektronik, diadakan mulai 21 hingga 23 Jun di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Pulau Pinang.
Bertemakan “Forward as One – Building A Resilient and Sustainable Electronics Supply Chain in Southeast Asia,” program itu memperingati ulang tahun ke-50 kecemerlangan industri pembuatan di Malaysia dan meraikan reputasi Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Timur yang dibina berikutan kecemerlangan dalam industri pembuatan dan pengalaman industri selama beberapa dekad.
Sumber: Bernama