SEMICON Southeast Asia 2022 tonjol kepentingan industri E&E di rantau ini - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SEMICON Southeast Asia 2022 tonjol kepentingan industri E&E di rantau ini

SEMICON Southeast Asia 2022 tonjol kepentingan industri E&E di rantau ini

21 Jun 2022

Persidangan utama industri semikonduktor dan mikroelektronik di rantau ini, SEMICON Southeast Asia 2022 menonjolkan kepentingan industri elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia serta Asia Tenggara secara lebih meluas. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Semiconductor Equipment & Materials International (SEMI) Ajit Manocha berkata industri semikonduktor telah berjaya menangani dan menunjukkan pertumbuhan yang kukuh walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19.

SEMI merupakan penganjur persidangan itu.

“Pengajaran yang paling penting daripada pandemik ini adalah betapa pentingnya semikonduktor untuk semua aspek kehidupan.

“Pemecutan dalam transformasi digital serta penumpuan AI (kecerdasan buatan), IoT (Internet Pelbagai Perkara), AR/VR (realiti maya), pengkomputeran kuantum, mesin autonomi dan banyak lagi teknologi baru muncul akan menyentuh hampir setiap pasaran akhir, menghasilkan peluang yang besar kepada industri semikonduktor,” katanya dalam ucapan alu-aluannya di SEMICON Southeast Asia 2022 di sini hari ini.

Bertemakan ‘Forward as One – Building A Resilient and Sustainable Electronics Supply Chain in Southeast Asia’, acara tiga hari bermula hari ini akan menghimpunkan pakar industri bagi mendapatkan pandangan kritikal mengenai ekosistem semikonduktor, peluang perniagaan baharu dan kerjasama. 

Sementara itu, CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Arham Abdul Rahman berkata pendigitalan dan permintaan pengguna yang semakin meningkat untuk elektronik akan mendorong perubahan berterusan pada tahun-tahun akan datang kerana peluang itu tidak terbatas. 

“Seperti yang dirangkakan dalam Aspirasi Pelaburan Negara, terdapat lebih banyak ruang untuk kita berkembang. 

“Membangunkan kluster dan inovasi baharu dalam bidang sedia ada akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, mengembangkan rantaian bekalan serantau serta global dan meningkatkan usaha kita dalam membangunkan sosio-ekonomi,” katanya.

SEMICON Southeast Asia 2022 dijangka menarik lebih daripada 10,000 hadirin selain menampilkan dua pavilion bertema, dua pavilion global, pembentangan utama dan pelbagai forum teknologi untuk menangani trend serta isu-isu penting dalam rantaian bekalan pembuatan elektronik.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon