FELCRA peruntuk RM3.5 juta perkasa industri santan sawit - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FELCRA peruntuk RM3.5 juta perkasa industri santan sawit

FELCRA peruntuk RM3.5 juta perkasa industri santan sawit

23 Jun 2022

FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd (FPESB) membangunkan sebuah kilang memproses Santan Sawit jenama SURI dengan kos RM3.5 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kilang pengeluaran secara komersial di Changkat Jong di sini itu mampu menghasilkan 60 tan metrik santan sawit sebulan.

“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, FELCRA mengambil keputusan untuk membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama. 

“Pengeluaran santan sawit oleh FELCRA ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea yang sangat strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad Datuk Mat Roni Zakaria, Pengerusi FPESB Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif FPESB Wan Ramlan Wan Abdullah.

Mahdzir berkata pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian daripada inisiatif FELCRA Berhad dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.

Katanya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan geran RM3 juta menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman FPESB.  

“Sebelum ini kita sudah ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012, tetapi sekarang kita telah bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran lebih tinggi dan kilang beroperasi sepenuhnya automatik,” katanya.

Kilang seluas lebih 4,000 meter persegi itu mula beroperasi pada Selasa lepas dengan keupayaan memproses 2.8 tan metrik santan sawit sehari.

Ia menggantikan kilang lama yang hanya mampu menghasilkan santan sawit 1.7 tan metrik sehari atau 30 tan metrik sebulan.

Setakat ini, produk Santan Sawit Suri mempunyai lima Pengedar Utama dan dipasarkan di 40 lokasi pasar raya dan peniaga individu di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Pahang.

“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran sekali gus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang telah meningkat melebihi 100 peratus”, katanya.

Sementara itu, Wan Ramlan berkata kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedang dijalankan bagi menghasilkan santan sawit dalam bentuk kotak bagi pasaran antarabangsa.

“Walaupun kualiti produk ini sudah baik tetapi kajian masih dijalankan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk memastikan keluaran produk berkualiti dan tahap lebih baik termasuk perubahan dari segi bentuk pembungkusan dari plastik kepada dalam kotak,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon