Industri automasi, jentera komited pada agenda kemampanan kerajaan – MITI
23 Jun 2022
Pameran Hibrid Peralatan Mesin, Kerja Logam & Teknologi Automasi Antarabangsa ke-26 (Metaltech & Automex 2022) akan terus menyokong matlamat kerajaan untuk membangunkan industri jentera dan peralatan Malaysia bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata sebagai salah satu sektor paling inovatif dalam ekonomi, beliau berharap industri jentera dan automasi akan terus berdaya saing di peringkat global, disokong oleh pelbagai inisiatif yang dipertingkatkan oleh kerajaan di tengah-tengah kelemahan ekonomi yang disebabkan pandemik COVID-19.
“Elemen inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga telah diserapkan secara berterusan ke dalam perniagaan daripada semua spektrum sebagai keperluan yang semakin berkembang yang boleh memacu penciptaan nilai jangka panjang, menggalakkan amalan perniagaan yang mampan dan menarik lebih ramai pelabur yang berdaya maju.
“Sehubungan itu, jentera dan automasi hari ini harus memanfaatkan teknologi yang bukan sahaja memfokuskan pada produktiviti dan kecekapan tetapi juga perlu condong kepada penyelesaian yang bersih dan cekap tenaga,” katanya pada majlis perasmian Metaltech & Automex 2022 hari ini. Acara berlangsung dari 22-25 Jun, 2022.
Lim berkata sektor itu, yang diwakili lebih 2,000 syarikat dengan 90,000 pekerja di negara ini, telah meningkatkan rantaian nilainya dengan mengalihkan tumpuannya bagi memasukkan bidang teknologi tinggi yang menghasilkan produk bernilai tambah tinggi dan khusus.
Beliau juga berkata kerajaan juga akan meneruskan perjanjian perdagangan bebas berkualiti tinggi untuk memberi manfaat bersama kepada industri dan pelabur dari segi pengurangan sekatan tarif dan kemudahan perdagangan yang dipertingkatkan.
Malaysia katanya, kini merupakan pengeluar utama peralatan proses dan automasi khusus untuk industri elektrik dan elektronik di rantau ini.
Jumlah pelaburan yang direalisasikan dalam jentera dan peralatan domestik sejak 1980-an berjumlah RM33.9 bilion sehingga hari ini, katanya.
Tahun lepas, sebanyak 42 projek jentera dan peralatan diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM1.6 bilion, dan dijangka menjana 2,268 pekerjaan, katanya.
Dari segi perdagangan, produk jentera dan peralatan merupakan eksport ketujuh terbesar Malaysia, mewakili empat peratus daripada jumlah nilai eksport.
Eksport jentera dan peralatan mencatatkan peningkatan 25.7 peratus pada 2021, dengan nilai eksport RM49.6 bilion berbanding RM39.5 bilion pada 2020.
Lim berkata peningkatan ketara itu disokong oleh peningkatan dalam permintaan bagi jentera khusus untuk menyokong pembuatan semikonduktor.
Sementara itu, Pengerusi Metaltech & Automex 2022 Datuk Tan Chin Huat memberitahu pemberita bahawa acara itu tepat pada masanya kerana kekurangan buruh telah menjana permintaan untuk mesin dan automasi.
“Kami menjangkakan lebih banyak petunjuk jualan semasa acara empat hari ini dengan lebih 20,000 pelawat perdagangan.
“Ramai yang datang ke acara itu untuk menjadi pengunjung terawal dan memastikan pesanan mereka dihantar bagi memenuhi permintaan pelanggan; jika tidak, mereka mungkin perlu menunggu lebih lama kerana kekurangan komponen elektrik dan tenaga kerja,” kata Tan.
Selain pertemuan bersemuka, seminar dan ceramah, acara itu menghimpunkan hampir 300 peserta pameran, termasuklah dari Korea Selatan, Jerman, India, China dan Singapura.
Sumber: Bernama