Selangor berada di landasan untuk capai sasaran pelaburan RM10 bilion
05 Jul 2022
Selangor berada di landasan untuk mencapai sasaran pelaburan RM10 bilion bagi 2022 walaupun menghadapi cabaran situasi ekonomi semasa, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian serta Industri Kecil dan Sederhana negeri, Datuk Teng Chang Khim.
Beliau berkata kerajaan negeri bertindak praktikal dan pragmatik dalam menetapkan sasaran itu di samping optimis berdasarkan pertumbuhan semasa.
“Bagi suku pertama, kita berhasil meraih RM3 bilion, dan untuk suku kedua, saya yakin kita boleh menerima lagi RM3 bilion.
“Ahli ekonomi juga mengunjurkan pada separuh kedua tahun ini, ekonomi akan bergerak lembap namun kita tidak pasti jika pelaburan langsung asing juga akan suram,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 di sini, pada Selasa.
Beliau berkata Selangor juga meninjau dalam ekonomi digital dan logistik untuk memperluas sektor pelaburan.
Bagaimanapun, usaha itu mengambil sedikit masa kerana kerajaan negeri perlu meneliti keupayaannya terlebih dahulu, katanya.
“Kami sedang melakukan persediaan mengenainya sebelum kami giat berusaha untuk mempromosikan industri kami. Selangor bergerak sangat pantas namun ada hadnya kerana kami juga perlu melihat keupayaan kami,” katanya.
Sumber: Bernama