First Solar bekal panel solar filem nipis PV termaju kepada Solarvest
21 Jul 2022
First Solar Inc akan membekalkan 93 megawatt (MW) panel solar filem nipis fotovoltaik (PV) termaju kepada Solarvest Holdings Bhd, dengan penghantaran dilakukan antara Julai dan Oktober 2022.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, First Solar berkata modul itu akan menggerakkan empat projek yang sedang dibina sebagai sebahagian daripada program solar berskala besar di Malaysia, kerana mereka akan menggunakan modul First Solar Siri 6 untuk projek di Selangor, Perak dan Kedah.
“Kira-kira 75 MW daripada jumlah tempahan itu dijangka diperoleh daripada kemudahan pembuatan First Solar di Kulim, Kedah,” kata kenyataan itu.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong berkata penggunaan panel solar termaju itu akan menyerlahkan lagi kelebihan yang dibawa oleh penyelesaian kejuruteraan syarikat dari segi memaksimumkan hasil tenaga.
“Kami sangat teruja untuk menggunakan teknologi filem nipis First Solar, termasuk panel solar buatan Pulau Pinang, untuk melaksanakan projek kami di Malaysia.
“Kombinasi ini sudah pasti akan meningkatkan daya saing projek kami,” katanya.
Terutamanya memandangkan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global semasa, Chong berkata ia juga merupakan sebahagian daripada strategi Solarvests untuk mengurangkan risiko penggantungan berhubung dengan amalan pemerolehan, yang mana kepelbagaian sumber menggalakkan kestabilan yang lebih besar untuk mereka ketika mereka terus meningkat.
Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Global First Solar Adam Smith berkata perjanjian itu mewakili komitmen mereka untuk menggunakan teknologi modul berprestasi tinggi dan cekap ekonomi di Malaysia.
“First Solar telah lama berada di Malaysia dan kami berbangga bahawa teknologi modul kami akan memainkan peranan dalam membantu negara mencapai matlamat tenaga bersih,” katanya.
Solarvest diasaskan pada 2012, mempelopori pemasangan solar bersambung dengan grid di Malaysia dan telah menghasilkan sekitar 400 MW di seluruh negara.
Sementara itu, First Solar telah ditubuhkan pada 2007, dan kini mengendalikan kilang pembuatan 3.3 gigawat di Pulau Pinang.
Sumber: Bernama