TTM Technologies sasar kilang baharu di Pulau Pinang jana hasil 10 peratus - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


TTM Technologies sasar kilang baharu di Pulau Pinang jana hasil 10 peratus

TTM Technologies sasar kilang baharu di Pulau Pinang jana hasil 10 peratus

24 Jul 2022

TTM Technologies Inc yang tersenarai di NASDAQ dan memperuntukkan pelaburan modal AS$130 juta (kira-kira RM550 juta) sehingga 2025 bagi kilang pembuatan pertamanya di Asia Tenggara yang terletak di Pulau Pinang, menyasarkan 10 peratus hasilnya dijana daripada kemudahan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif TTM Technologies Tom Edman berkata syarikat itu memutuskan untuk membuka kemudahan baharu tersebut bagi membolehkan pembangunan peringkat asas berteraskan pendekatan Industri 4.0 sebenar bagi penghasilan papan litar bercetak (PCB).

Ini juga sejajar dengan usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan aspek ketahanan rantaian bekalan, keupayaan volum kemudahan bagi PCB berteknologi tinggi di luar China selain aspek kemampuan infrastruktur Malaysia.

“Jumlah saiz TTM Technologies pada masa ini adalah kira-kira AS$2.5 bilion (AS$1=RM4.45) dengan turut mengambil kira pengambilalihan terbaharu yang kami umumkan mengenai segmen pertahanan perniagaan kami.

“Kemudahan baharu ini adalah aspek penting masa depan syarikat dan kami menyasarkan lebih kurang 10 peratus daripada hasil itu akan dijana daripada kilang ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas pengembangannya di masa depan, Edman berkata tapak bagi kemudahan di Pulau Pinang itu turut mempunyai ruang bagi pembangunan fasa dua yang dapat menampung kapasiti tambahan sebanyak 25 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata pengembangan TTM Technologies di masa akan datang tidak terhad kepada lokasi tersebut dan mungkin meninjau lokasi lain sekiranya kemudahan itu terbukti berjaya.

“Kami optimis mengenai reaksi pelanggan terhadap kemudahan ini. Pada masa sama, kami menjangkakan kilang di Pulau Pinang ini dapat beroperasi sepenuhnya pada 2025 yang menjadi tempoh untuk menentukan pengembangan bagi masa depan,” katanya.

Pengeluaran rintis kilang itu dijadual bermula pada separuh kedua 2023 dengan pelaburannya dijangka mewujudkan 800 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun membabitkan PCB lebih maju seperti kiraan lapisan tinggi dan saling sambungan berkepadatan tinggi (HDI).

Kilang baharu itu berperanan untuk menampung pasaran komersial global TTM termasuk rangkaian komunikasi, pengkomputeran pusat data, perubatan, perindustrian serta perkakasan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon