PKS bakal raih manfaat ratifikasi segera CPTPP - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PKS bakal raih manfaat ratifikasi segera CPTPP

PKS bakal raih manfaat ratifikasi segera CPTPP

08 Ogo 2022

Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) melihat ratifikasi segera Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan memberi pelbagai faedah perdagangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Presidennya, Ding Hong Sing, berkata sebagai persatuan PKS terbesar di negara ini, SME Malaysia menyokong sepenuhnya ratifikasi segera CPTPP oleh kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, hasil Analisis Kos-Faedah Kesan Potensi CPTPP terhadap Ekonomi dan Sektor Ekonomi Utama Malaysia oleh PWC mengukuhkan lagi pandangan persatuan itu bahawa ratifikasi perjanjian perdagangan bebas (FTA) berkenaan akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan juga menyediakan pelbagai faedah perdagangan kepada PKS di negara ini.

Katanya, PKS tempatan terjejas teruk oleh pandemik COVID-19, dengan KDNK sektor itu menguncup 7.3 peratus pada 2020, lebih curam berbanding kemerosotan 5.6 peratus dan 4.6 peratus yang dicatatkan KDNK Malaysia dan KDNK bukan PKS.

“PKS dalam semua sektor perniagaan terus terkesan oleh kekurangan tenaga kerja, gangguan rantaian bekalan, tekanan inflasi dan peningkatan kos bahan mentah serta utiliti dalam peralihan ke fasa endemik. SME Malaysia menjangkakan keadaan perniagaan yang mencabar ini akan berterusan dalam jangka sederhana.

“Ratifikasi CPTPP yang tepat pada masanya akan mengurangkan tekanan semasa kepada komuniti perniagaan untuk sedikit sebanyak, membolehkan PKS mengakses pasaran baharu dalam ekonomi ahli CPTPP, mengambil bahagian dalam rantaian bekalan global, sumber bahan mentah pada harga yang kompetitif dan nikmati kemudahan mengeksport menerusi pengurangan tarif dan halangan perdagangan teknikal,” katanya dalam satu kenyataan.

SME Malaysia bagaimanapun mengingatkan PKS supaya bersiap sedia menghadapi kemasukan barangan dan perkhidmatan asing daripada ekonomi ahli CPTPP ke dalam negara yang akan menimbulkan persaingan yang lebih besar dari segi pilihan, kualiti dan harga.

CPTPP adalah FTA yang memberikan layanan keutamaan kepada anggotanya dengan 11 negara sudah memeterai perjanjian itu termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia masih belum meratifikasikan perjanjian perdagangan itu.

Malaysia kekal sebagai negara penandatangan berserta dengan Brunei dan Chile, tetapi tidak menikmati kadar tarif keutamaan yang ditawarkan dalam perjanjian itu.

Perjanjian itu sudah dikuatkuasakan di Australia, Kanada, Jepun, New Zealand, Mexico, Peru, Singapura dan Vietnam.

Sehingga proses ratifikasi dipenuhi, Malaysia diberi status pemerhati dan tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang apa juga keputusan yang dibuat berkaitan dengan penguatkuasaan perjanjian itu.

CPTPP merangkumi setiap aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan tambahan disiplin bagi hak harta intelektual serta halangan teknikal kepada perdagangan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon