MOSTI lancar Pelan Hala Tuju Teknologi Negara - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MOSTI lancar Pelan Hala Tuju Teknologi Negara

MOSTI lancar Pelan Hala Tuju Teknologi Negara

09 Ogo 2022

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), hari ini melancarkan lima Pelan Hala Tuju Teknologi Negara bagi memperhebatkan usaha Malaysia menjadi pembangun teknologi, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada teknologi luar dan buruh asing.

Lima pelan itu ialah pembangunan teknologi dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), Teknologi Blockchain Negara, Kecerdasan Buatan (AI), Teknologi Bahan Termaju Nasional dan Robotik Negara, bagi tempoh 2021 hingga 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, dalam ucapan pelancaran itu berkata, pembangunan teknologi dalam semua sektor itu amat signifikan kerana Malaysia mahu mencapai status negara berteknologi tinggi pada 2030.

Justeru, katanya, tumpuan harus diberikan kepada aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan yang inklusif, merangkumi rantaian bekalan dan nilai, pembangunan dan penyelidikan, serta pengkomersialan dan inovasi, supaya pembangunan teknologi sejajar dengan keutamaan negara.

“Pembangunan teknologi dalam sektor E&E penting kerana sektor ini menyediakan lebih 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Antara strategi dalam pelan hala tuju sektor ini alah membangunkan keupayaan teknologi dan inovasi syarikat tempatan serta pengkomersialan, bagi memacu industri pembuatan E&E dan semikonduktor yang bernilai tinggi.

“Terdapat empat bidang yang dikenal pasti iaitu kilang dan taman industri pintar, agrikultur pintar, tenaga boleh diperbaharui dan solar photovoltaic serta Next Generation Vehicle dengan sistem mobiliti pintar,” katanya.

Dr Adham berkata, Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara pula akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pembangunan dan aplikasi Blockchain seperti pengalaman kerajaan menggunakan platform blockchain hyperledger ketika pandemik COVID-19, yang membolehkan ahli farmasi serta pegawai perubatan menjejaki rantaian bekalan vaksin.

“Kita yakin teknologi blockchain boleh digunakan bagi menjejaki rantaian produk daging import halal bermula daripada peringkat penyembelihan hingga pengedaran. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat mengelak kegiatan kartel, malah membantu kebanyakan pengguna kerana rangkaian bekalannya boleh dikawal dan diurus dengan baik,” katanya.

Bagi pembangunan teknologi AI pula, beliau berkata, pelan hala tuju itu bertujuan membangunkan ekosistem inovasi kepintaran buatan bagi pembangunan AI, yang memanfaatkan kolaborasi quadruplehelix berpandukan prinsip AI yang bertanggungjawab.

“Sementara itu, pembangunan Teknologi Bahan Termaju dapat memperkukuhkan ekosistem inovasi bahan termaju tempatan, dengan memberi fokus kepada empat bahan termaju iaitu grafin, nitinol, bahan nadir bumi dan polimer selulosa mikro hablur.

“Pelan Hala Tuju Robotik Negara pula berperanan mengenal pasti strategi pembangunan teknologi robotik negara dalam menjadikan Malaysia sebuah hab robotik. Bagi mencapai matlamat berkenaan, Akademi Pembangunan Bakat Robotik (RoTDA) akan ditubuhkan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon