KULIM bina loji hasilkan minyak sawit merah
08 Ogo 2022
Kulim (Malaysia) Bhd (KULIM), melalui anak syarikat perladangannya, Mahamurni Plantations Sdn Bhd (MPSB), akan membina loji pengekstrakan minyak gentian sawit (PFOE) pertama di kilang kelapa sawit Sedenak, Johor.
Sebagai salah satu inisiatif yang menukar sisa menjadi bahan berguna, loji PFOE mengekstrak minyak daripada gentian mesokarpa buah tandan segar yang diproses untuk menghasilkan minyak sawit merah yang boleh dijual pada 85 peratus daripada harga minyak sawit mentah.
Inisiatif ini akan menjana aliran pendapatan baharu bagi kumpulan dengan anggaran RM8 juta setahun.
MPSB hari ini menandatangani perjanjian kontrak dengan Eonmetall Technology Sdn Bhd (Eonmetall), anak syarikat Eonmetall Group Bhd yang berpusat di Pulau Pinang, untuk membina loji itu, yang dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.
Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan KULIM, Mohd Faris Adli Shukery bagi pihak MPSB dan Pengarah Urusan Eonmetall, Yeoh Cheng Chye.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi KULIM, Fairuz Ismail dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Eonmetall Group, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak.
“Projek ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk melaksanakan ekonomi kitaran atau ‘circular economy’ dengan memanfaatkan sisa minyak sebagai bahan mentah untuk biofuel dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui untuk operasi loji daripada sumber yang mampan.
“Lebih penting lagi, ia adalah bukti komitmen kami terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” kata Mohd Faris dalam satu kenyataan.
Sejak 2007, Eonmetall, yang memiliki paten teknologi itu, telah memasang lebih daripada 20 kilang dalam industri minyak sawit.
Sementara itu, Cheng Chye berkata ia hala tuju penting bagi KULIM untuk melabur dalam pendekatan tambahan nilai bersepadu untuk menghasilkan minyak gentian sawit bernilai tinggi.
“Loji ini direka dengan operasi berterusan dan beroperasi sepenuhnya secara automatik dengan tenaga kerja yang minimum, selaras dengan penggunaan IR 4.0 dalam pemprosesan berkaitan kelapa sawit,” katanya.
Sumber: Berita Harian