Malaysia, Singapura muktamad kerangka kerjasama dalam ekonomi digital, hijau
23 Ogo 2022
Malaysia dan Singapura memuktamadkan dua kerangka kerjasama dalam ekonomi digital dan hijau, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
MITI dan Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) menjelaskan kerangka itu berfungsi sebagai asas untuk inisiatif dua hala masa hadapan yang berkaitan dengan ekonomi digital dan hijau.
Malaysia dan Singapura juga bersetuju untuk melaksanakan usaha ke arah pemeteraian kerangka itu pada akhir 2022, menurut kenyataan bersama MITI dan MTI yang dikeluarkan di sini, pada Selasa.
Menurutnya kerangka itu dimuktamadkan selepas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong bertemu di Singapura pada 22 Ogos, 2022.
Menurut kenyataan itu, kerangka ekonomi digital akan memudahkan kerjasama yang diperhebat dalam bidang seperti pemudahan perdagangan; identiti digital; piawaian; penggalakan pelaburan; pemudahan pendigitalan serta pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ini akan membuka peluang yang lebih luas, memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan rakyat di kedua-dua negara,” jelasnya.
Menurut kenyataan bersama itu, Singapura dan Malaysia akan mengukuhkan kerjasama dalam ekonomi hijau untuk nyahkarbon industri selain membolehkan perniagaan dan pekerja merebut peluang yang muncul.
Mengikut kerangka ekonomi hijau, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam mobiliti generasi akan datang termasuk kenderaan elektrik dan kenderaan tanpa pemandu selain pertukaran dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), tambahnya.
Malaysia dan Singapura juga sepakat untuk bekerjasama dalam pembangunan kapasiti pengeksport; penyelesaian rendah karbon termasuk penyerapan, penggunaan serta penyimpanan hidrogen dan karbon; kerjasama industri kredit karbon dan piawaian teknologi tenaga boleh baharu, menurut kenyataan bersama itu.
Mohamed Azmin menekankan bahawa bidang kerjasama yang dipersetujui dalam ekonomi hijau adalah selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menggalakkan industri dan pasaran hijau, mengurangkan pencemaran dan pelepasan gas rumah hijau di samping memulihara sumber asli.
Beliau menegaskan usaha itu dilakukan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mempercepat peralihan sektor pembuatan tempatan khususnya PMKS kepada ESG dan ekonomi hijau.
“Ini akan membolehkan mereka bersepadu dengan rantaian bekalan serantau dan global, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan selain memenuhi peningkatan permintaan pengguna tempatan terhadap produk yang mematuhi ESG,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata secara khususnya, melalui kerjasama ini, kedua-dua negara boleh bertukar-tukar amalan terbaik dari segi pengkuantitian pelepasan karbon dalam sektor pembuatan.
Mengenai kerangka ekonomi digital, Mohamed Azmin menyatakan keyakinan bahawa ia sejajar dengan agenda MyDigital, yang akan memperkasakan lagi perniagaan untuk menyepadukan operasi mereka secara digital di peringkat global, seterusnya meningkatkan daya saing ekonomi.
Sementara itu, Gan berkata kedua-dua kerangka itu menandakan satu kejayaan dalam perkongsian yang telah lama terjalin dan pelbagai bentuk antara Singapura dengan Malaysia.
Beliau berkata persetujuan itu meletakkan asas bagi kerjasama seterusnya antara kedua-dua negara merentas pelbagai bidang ekonomi hijau dan digital di Singapura dan Malaysia, untuk memberikan manfaat besar kepada rakyat dan perniagaan.
Sumber: Bernama