MITI yakin nilai dagangan dua hala Malaysia-China lepasi US$190 bilion tahun ini - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI yakin nilai dagangan dua hala Malaysia-China lepasi US$190 bilion tahun ini

MITI yakin nilai dagangan dua hala Malaysia-China lepasi US$190 bilion tahun ini

13 Sep 2022

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin nilai hubungan perdagangan dua hala membabitkan Malaysia dan China, mampu melepasi paras US$190 bilion (US$1=RM4.50) pada tahun ini berdasarkan aliran semasa dan seterusnya ke arah US$200 bilion.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri MITI Datuk Lim Ban Hong menggesa kalangan penggiat industri serta pihak berkuasa terbabit untuk terus gigih berusaha bagi meneruskan momentum tersebut.

Menurutnya, bagi tempoh tujuh bulan pertama 2022, perdagangan dengan China telah meningkat sebanyak 16.9 peratus berbanding tempoh sama 2021 manakala eksport berkembang 13.2 peratus, dipacu oleh eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG) serta bijih logam dan logam sekerap.

“Selain itu, import dari China pula meningkat sebanyak 19.8 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Sesi Padanan Perniagaan B2B Malaysia-China ke-4 bersempena penganjuran Ekspo China-Asean (CAEXPO) ke-19 2022, hari ini. 

Acara CAEXPO itu dijadual berlangsung pada 16-19 Sept, 2022, di Nanning, China.

Mengulas lanjut, Lim menyifatkan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dapat mewujudkan rangka kerja berasaskan peraturan yang lebih telus, khusus serta berasaskan peraturan untuk perdagangan serta pelaburan dalam kalangan negara yang menandatanganinya.

Pada masa sama, ini dapat mengukuhkan integrasi syarikat dalam nilai global serta rantaian bekalan serantau, termasuk antara Malaysia dan China.

Menurutnya, RCEP juga menjadi platform strategik untuk perniagaan bekerjasama dan menjalin integrasi ekonomi lebih erat dengan memanfaatkan tarif rendah, kesalinghubungan logistik yang kukuh serta memperhebat perdagangan barangan dan perkhidmatan menerusi ekosistem lebih mantap di rantau ini.

“Saya berharap pemimpin perniagaan China akan terus memanfaatkan iklim perniagaan dan pelaburan Malaysia yang kondusif serta memperkukuh jaringan perniagaan serantau bagi mewujudkan kerjasama saling menguntungkan dengan syarikat-syarikat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama terbabit dapat dipermudah menerusi perkongsian pintar, termasuk membabitkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan China Construction Bank (CCB).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk lebih proaktif serta memanfaatkan acara CAEXPO dan sesi CCB Matchplus bagi tujuan pengembangan perniagaan.

“Kita mempunyai lebih daripada 30 syarikat Malaysia yang berminat mendapatkan pelaburan China atau peluang kerjasama perniagaan selain lebih 300 sesi pertemuan perniagaan yang telah diatur oleh CCB untuk peserta Malaysia pada 13-15 September ini,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon