Syarikat JV Malaysia-Thailand labur RM5 bilion bangun kenderaan elektrik, bateri
26 Sep 2022
Syarikat usaha sama (JV) antara Computer Forms (Malaysia) Bhd (CFM) dan Energy Absolute Public Company Ltd (EA) akan melabur sebanyak RM5 bilion secara berperingkat untuk menyediakan penyelesaian mobiliti hijau di Malaysia.
Pengarah Urusan CFM, Datuk Wira Justin Lim, berkata syarikat JV baharu itu juga akan memaksimumkan peluang dalam pengeluaran dan pengedaran kenderaan elektrik (EV) seperti bas, kereta, kereta api, basikal dan bot, di mana EA mempunyai sumber yang kukuh dan keupayaan yang terbukti di Thailand.
Katanya, pelaburan itu juga adalah termasuk membangunkan platform penyimpanan dan pengecasan tenaga, dan pengeluaran bateri litium-ion untuk menyokong ekosistem EV di Malaysia.
“Selain itu, syarikat itu akan memulakan beberapa projek tenaga boleh diperbaharui dalam solar dan angin untuk mempercepatkan mandat penukaran tenaga Malaysia yang disandarkan pada Perjanjian Paris (COP21),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Lim berkata, usaha perkongsian itu akan membawa keupayaan dan pengetahuan yang cemerlang melalui rakan kongsi kukuh mereka Energy Absolute PCL untuk menyokong rancangan kepelbagaian CFM untuk memacu pertumbuhan perniagaan dalam sektor EV dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Kami menjangkakan perkongsian ini akan menghasilkan pulangan yang kompetitif kerana penghijauan sistem pengangkutan awam Malaysia adalah sejajar dengan rancangan negara untuk mengurangkan jejak karbon Malaysia.
“Syarikat JV akan berusaha untuk membawa masuk bas EV, kereta EV, kereta api EV basikal EV dan bot EV untuk mengubah secara radikal infrastruktur pengangkutan awam Malaysia dalam jangka sederhana,” katanya.
Tambahnya, syarikat itu akan melancarkan rancangan untuk mengeluarkan bateri Litium-Ion dan melabur dalam Sistem Penyimpanan Tenaga (ESS) dan stesen pengecasan untuk menyokong ekosistem EV.
“Syarikat rakan kongsi baharu ini akan berikrar untuk melabur banyak dalam loji tenaga boleh diperbaharui solar dan angin dalam masa terdekat.
“Pelaburan ini akan didorong oleh pasukan baharu dari kedua-dua negara untuk menyepadukan penyelesaian tenaga bersih dan mobiliti untuk membantu syarikat Malaysia menyahkarbon dengan berkesan,” katanya.
Sumber: Berita Harian