Petronas Chemicals, ExxonMobil bekerjasama kitar semula plastik - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Petronas Chemicals, ExxonMobil bekerjasama kitar semula plastik

Petronas Chemicals, ExxonMobil bekerjasama kitar semula plastik

20 Sep 2022

Petronas Chemicals Group Bhd dan ExxonMobil menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menilai potensi pelaksanaan teknologi kitar semula plastik termaju berskala besar bagi membantu mewujudkan ekonomi kitaran untuk plastik di Malaysia.

Menurut kedua-dua syarikat dalam kenyataan bersama hari ini, mereka akan menilai peluang untuk menyokong penambahbaikan dalam kutipan dan pengasingan sisa plastik di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals, Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata Petronas Chemicals, cabang petrokimia syarikat minyak dan gas nasional PETRONAS, sentiasa meneroka dan melaksanakan teknologi inovatif untuk membangunkan penyelesaian mampan yang diminta oleh pelanggannya.

“Usaha sama ini adalah satu lagi langkah penting ke arah peralihan kepada ekonomi kitaran berikutan peningkatan permintaan untuk produk kitaran dan menandakan komitmen kami untuk menggunakan bahan mentah yang telah dikitar semula dalam industri kimia,” katanya.

Petronas Chemicals sedang menjalankan beberapa kajian kebolehlaksanaan berhubung kitar semula plastik.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Pemasaran Baru ExxonMobil, Dave Andrew, berkata kitar semula lanjutan memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk kitaran di samping membantu menangani cabaran sisa plastik.

“Memanfaatkan teknologi baharu dan kepakaran kedua-dua organisasi, kami berharap untuk mempercepatkan ekonomi yang lebih kitaran untuk plastik di rantau ini,” katanya.

ExxonMobil adalah ahli pengasas Alliance to End Plastic Waste, yang memberi tumpuan kepada memacu pelaburan dalam penyelesaian yang selamat, berskala dan ekonomi berdaya maju di seluruh dunia untuk membantu menangani masalah sisa plastik.

Syarikat itu merancang untuk membina kira-kira 500,000 tan kapasiti kitar semula termaju di kemudahan pembuatan bersepadunya di seluruh dunia pada akhir tahun 2026.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon