Malaysia penyumbang utama agenda WTO dalam aspek pertumbuhan, pembangunan ekonomi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia penyumbang utama agenda WTO dalam aspek pertumbuhan, pembangunan ekonomi

Malaysia penyumbang utama agenda WTO dalam aspek pertumbuhan, pembangunan ekonomi

01 Okt 2022

Malaysia yang aktif pembabitannya di peringkat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) diyakini berupaya menjadi penyumbang utama ke arah agenda WTO dalam aspek pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Perkara itu diutarakan Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonko-Iweala ketika menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Geneva, Switzerland pada Jumaat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat itu, Nanta berkata Iweala turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap prestasi ekonomi Malaysia yang secara relatifnya utuh dan teguh.

“Kunjungan hormat ini sangat bermanfaat dan berguna, dengan menyentuh pelbagai isu berkaitan sumbangan WTO terhadap pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Malaysia,” katanya.

Berikutan isu kelaparan di peringkat global yang semakin meruncing susulan pandemik dan krisis keselamatan makanan yang masih membelenggu dunia, Malaysia mengalu-alukan inisiatif WTO dalam memastikan bekalan keperluan asas yang mencukupi serta dijual pada harga berpatutan.

“Ia diyakini berupaya membantu negara seperti Malaysia dalam mengurangkan beban kewangan menerusi penyaluran peruntukan subsidi terhadap barangan makanan kepada masyarakat.

“Harga barangan akan merekodkan penyusutan, dengan aliran perdagangan yang baik dan disokong rangkaian bantuan mudah cara, sekali gus menjana manfaat kepada pengguna,” kata Nanta.

Beliau menyifatkan inisiatif yang direncanakan WTO yang bertepatan untuk Malaysia ialah inisiatif mengenai perdagangan elektronik.

“Hal ini kerana pandemik mencetuskan perubahan transaksi oleh pengguna. Justeru, inisiatif berkaitan perdagangan elektronik ini bakal membantu Malaysia untuk mengawal selia sektor ini sewajarnya, selain tidak merencatkan pertumbuhan industri,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon