Prestasi pelaburan negara teruskan momentum 2021
06 Okt 2022
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangka momentum prestasi pelaburan negara pada tahun ini berdasarkan sasaran tahunan antara RM250 bilion dan RM300 bilion dapat dipertahankan melalui Dasar Pelaburan Baru di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata momentum itu dapat dipertahankan jika beberapa pembaharuan struktur dilakukan untuk memastikan dasar negara terikat dengan piawaian antarabangsa.
Katanya negara mencatatkan pelaburan berjumlah RM394 bilion pada tahun lepas, melebihi sasaran yang ditetapkan, dipacu oleh pelaburan langsung asing dan projek yang meningkat bagi industri pembuatan serta elektrik dan elektronik.
“Apa yang kita sasarkan melalui polisi baharu ini juga untuk bidang baharu dan kita tidak mahu pelaburan yang masuk ke negara ini berintensifkan tenaga kerja asing tetapi lebih kepada berteknologi tinggi,” katanya kepada media selepas melancarkan Dasar Pelaburan Baru (NIP) di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapan, Mohamed Azmin berkata NIA menunjukkan langkah kerajaan yang aktif, pantas dan berpandangan ke hadapan untuk mendapatkan ekosistem pelaburan yang kukuh yang akan mendorong pertumbuhan yang lebih pesat dan inklusif.
“Aspirasi ini menjadi asas teras kepada NIP, menggariskan strategi penting untuk menggiatkan semula dan memangkin ekosistem pelaburan Malaysia,” katanya.
Di bawah NIP, enam teras strategik telah digariskan untuk menangani cabaran ekonomi dan pelaburan, termasuk merangka strategi pelaburan disatukan mengenai NIA dan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
Ia akan turut memberi penekanan kepada pakej insentif yang pantas dan berpandangan ke hadapan disasarkan untuk memenuhi keperluan dan permintaan pelabur.
Selain itu, ia memberi tumpuan kepada memberikan Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) peranan dan tanggungjawab yang jelas untuk perjalanan pelabur yang lancar.
Katanya NIP turut menyokong kepada menggalakkan pelaburan yang inovatif, berimpak tinggi dan berteknologi tinggi yang kondusif kepada mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Ini penting untuk menambah nilai dan menjana impak positif kepada kerumitan ekonomi yang mentakrifkan trajektori pertumbuhan jangka panjang negara,” katanya.
Ia turut bertujuan untuk memastikan terdapat kumpulan tenaga kerja yang berdaya maju untuk memenuhi keperluan dan permintaan pasaran buruh supaya dapat meraih peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Ini akan menjamin pemindahan teknologi secara berperingkat dan progresif, pembinaan kapasiti dan mendapat pengetahuan dan kemahiran teknikal dan digital yang diperlukan oleh industri dan perniagaan.
“Akhir sekali, dasar baharu itu akan mempercepatkan penyelarasan ekosistem perniagaan secara menyeluruh yang memastikan memudahkan menjalankan perniagaan, meningkatkan daya saing dan memastikan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini,” kata Mohamed Azmin.
Sumber: Bernama