Widad, TNB kerjasama bina loji kuasa di Kapar
21 Okt 2022
Selangkah lagi ke arah tenaga bersih, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memperoleh Surat Hasrat (“LOI”) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk pembangunan loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT).
Projek bernilai jutaan itu yang akan dibangunkan di tanah milik TNB di Kapar, Selangor membabitkan pembangunan CCGT 2,100 megawatt.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, tarikh operasi komersial dijangka bermula pada 2031. Projek itu akan dilaksanakan melalui usaha sama antara TNB dan WBG dengan TNB memegang 60 peratus kepentingan dan WBG memegang 40 peratus.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata: “Dengan kontrak ini, kami gembira kerana WBG telah diamanahkan dengan peranan penting untuk membantu negara kita mencapai neutral karbon menjelang 2050.
“Ketika dunia berlumba-lumba ke arah mengurangkan pelepasan karbon, usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk menangani isu perubahan iklim, termasuk dalam bidang penjanaan tenaga bersih, harus dipuji dan WBG berhasrat untuk melengkapkan usaha untuk jangka panjang.”
Katanya, projek itu, yang menjadi usaha pertama syarikat dalam pembangunan CCGT, akan menjadi batu loncatan utama mengembangkan lagi jejak dalam segmen tenaga boleh diperbaharui.
WBG, tambahnya, berusaha membina pengetahuan teknikal yang diperoleh daripada projek ini, bersama TNB, untuk melaksanakan lebih banyak projek seumpama itu pada masa hadapan.
Sumber: Berita Harian