Ratifikasi CPTPP akan dorong industri kimia, buka pasaran baharu
28 Okt 2022
Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) menjangkakan peranan industri kimia sebagai pemboleh rantaian bekalan mampu diperkasakan lagi berikutan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
CICM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan Malaysia berpotensi menjadi destinasi pelaburan yang lebih menarik serta dirangsang untuk membangunkan keupayaan tempatan, terutama dalam segmen bahan kimia khusus.
“Pembangunan dalam keupayaan tempatan mampu mempercepatkan pengembangan segmen bahan kimia khusus, ini seterusnya, membawa kepada peningkatan nilai tambahan dalam aktiviti pembuatan tempatan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, ratifikasi CPTPP juga akan meluaskan lagi akses pengeluar kimia Malaysia ke dalam pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang belum lagi dilindungi oleh mana-mana perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedia ada.
“Selain itu, United Kingdom berada di peringkat akhir untuk menzahirkan persetujuan terhadap perjanjian tersebut, manakala, China, Taiwan, Ecuador dan Costa Rica telah memohon menyertai CPTPP.
“Kemasukan mereka akhirnya akan memberikan peluang akses pasaran yang lebih luas dan lebih mendalam kepada pengeksport kimia Malaysia,” katanya.
Sumber: Bernama