Telekosang Hydro jadi loji jana kuasa hidro terbesar negara
07 Nov 2022
Telekosang Hydro One Sdn Bhd mencapai tarikh pengoperasian awal (IOD) pada 5 November 2022 untuk menjana dan membekalkan tenaga elektrik kepada sistem grid kuasa Sabah.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Pengerusi Eksekutif Jentayu Sustainables Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Telekosang Hydro, Datuk Beroz Nikmal Mirdin, berkata Telekosang Hydro disasarkan untuk menjadi antara loji jana kuasa hidro ‘run-of-river’ terbesar Malaysia dan dijangka menjana 245,000 megawatt-jam (MWh) elektrik setiap tahun.
“Ia menyediakan 1,000 peluang pekerjaan dan membolehkan pemindahan pengetahuan teknologi hijau ke Sabah,” katanya dalam kenyataan bersama pada Isnin.
Loji jana kuasa ‘run-of-river’ menggunakan aliran air dari sungai untuk memutar turbin.
Lazimnya, kemudahan ini hanya mempunyai sedikit atau tiada penyimpanan air.
Ia juga menyediakan bekalan elektrik berterusan, dengan beberapa fleksibiliti operasi untuk permintaan harian yang tidak menentu menerusi aliran air yang dikawal oleh kemudahan berkenaan.
Beliau berkata IOD, itu membuka laluan untuk Jentayu Sustainables memuktamadkan pengambilalihan Telekosang Hydro, menyokong aspirasi syarikat itu untuk menjadi peserta tenaga hijau utama di negara ini.
Beroz Nikmal berkata, pengambilalihan Telekosang Hydro akan membolehkan syarikat turut menyediakan perkhidmatan sampingan di bawah Penyelesaian Kelestarian Bersepadu, seperti sijil tenaga boleh baharu (REC), nasihat karbon dan pengurusan karbon.
“Sebagai satu kumpulan, kami akan terus menyokong kelestarian sebagai nadi perniagaan dan dalam semua usaha kami, termasuk usaha pemeliharaan dan pemulihan.
“Kami sedang memuktamadkan terma dan syarat untuk Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) mengetuai usaha pemulihan dan penghutanan semula bagi memastikan pemuliharaan biodiversiti sekitar kawasan Telekosang Hydro,” katanya.
Sumber: Bernama