Malaysia, Taiwan Boleh Bekerjasama Dalam Industri Jentera
10 Nov 2022
Taiwan memanfaatkan kekuatannya dalam teknologi ICT untuk membantu industri kerja logam merancang transformasi digital mereka, kata Pengarah Pusat Dagangan Taiwan di Kuala Lumpur Eva Peng.
Dalam kenyataan, Peng berkata Taiwan dan Malaysia boleh bekerjasama dalam penyelesaian baharu dan dalam bidang lain untuk menaik taraf industri jentera.
Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ekonomi Digital Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Dr Helena Eian Yeut Lan berkata Taiwan berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil peranan utama dalam pembangunan dan pelaksanaan Industri 4.0.
“Bagi menerima Industri 4.0, kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Taiwan adalah dijangka,” katanya.
Sehubungan itu, FMM bekerjasama dengan Taiwan Excellence, menganjurkan webinar “Toward Metal Processing 4.0” pada 9 Nov untuk mempamerkan dan berkongsi penyelesaian pemprosesan logam pintar, projek yang mempromosikan produk Taiwan yang paling inovatif.
Taiwan Excellence ialah kempen yang mempromosikan produk Taiwan.
Tiga syarikat Taiwan, Axile, Axisco dan Honor Seiki memperkenalkan penyelesaian dan teknologi terkini mereka pada webinar tersebut.
Untuk lebih memahami Internet of Things industri Taiwan dan perkakasan i-Manufacturing, pemain industri Malaysia digalakkan untuk mengunjungi “Taiwan International Intelligent Manufacturing Show” yang akan diadakan di ICC, Tainan, Taiwan pada 23 Nov atau melayari laman web di https://www.tiim.com.tw/en/
Sumber: Bernama