Dutch Lady Milk Industries akan optimumkan operasi pengeluaran produk tenusu - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Dutch Lady Milk Industries akan optimumkan operasi pengeluaran produk tenusu

Dutch Lady Milk Industries akan optimumkan operasi pengeluaran produk tenusu

29 Nov 2022

Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) hari ini mengumumkan pengoptimuman operasi pengeluaran tenusunya dan memutuskan untuk menamatkan operasi pengeluaran serbuk susu tepungnya di Petaling Jaya.

Sehubungan itu operasi pengeluaran susu tepungnya tidak akan dijalankan di kemudahan pengilangan baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, kata Pengarah Urusannya Ramjeet Kaur Virik.

Bagaimanapun, katanya, langkah yang diambil syarikat itu tidak menjejaskan bekalan serbuk susu tepung bagi pasaran Malaysia kerana ia akan mendapatkan bekalan produk tersebut daripada rangkaian pengilangan syarikat induknya, Royal FrieslandCampina NV di Asia dan terus menyediakan bagi keperluan pasaran di negara ini.

Royal FrieslandCampina NV, syarikat dari Belanda, merupakan satu daripada syarikat koperasi tenusu terbesar di dunia.

Selain itu, DLMI juga akan turut menamatkan beberapa barisan pengeluaran yang lain secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang, bermula 31 Mei, 2023, sebagai sebahagian daripada langkah pengoptimuman operasi, katanya.

Langkah tersebut adalah sejajar dengan pendekatan FrieslandCampina bagi meningkatkan operasi perniagaan dan beralih kepada model perniagaan yang lebih mampan yang memacu fokus, inovasi dan kecekapan atas faktor keperluan strategik jangka panjang untuk terus memenuhi keperluan pengguna pada masa hadapan.

Pekerjaan, latihan semula dan menambah kemahiran

“Malangnya, keputusan yang kami ambil ini menjejaskan kira-kira 100 pekerjaan sedia ada. Pekerjaan tersebut tidak lagi diperlukan di kilang baharu kami di Bandar Enstek.” “Ini akan dilakukan secara berfasa bermula 31 Mei, 2023, dan sehingga suku kedua 2024.

“DLMI sebagai sebuah syarikat memiliki kira-kira 600 orang pekerja dan pengoptimuman ini memberi impak kepada barisan pengeluaran tertentu. Kami mempunyai pelbagai barisan pengeluaran seperti perniagaan cecair dan perniagaan serbuk. Ramai daripada kakitangan kami akan meneruskan pekerjaan mereka bersama kami di Bandar Enstek,” kata Ramjeet.

DLMI melabur sebanyak RM540 juta dalam kilang baharu tersebut sebagai hab masa de[pan bagi perniagaan cecair di rantau ini. Kilang tersebut akan menggantikan operasi kilang di Petaling Jaya ketika ini.

Oleh itu, pengoptimuman rantaian bekalan adalah menerusi jenis produk bagi memastikan ekonomi bidangan dan kecekapan, katanya.

“Seramai 100 pekerja itu kebanyakannya daripada kilang serbuk susu dan pengoptimuman beberapa barisan pengeluaran secara berfasa dalam tempoh dua tahun akan datang (bermula 31 Mei, 2023),” jelasnya kepada Bernama.

“Kami akan mematuhi kewajipan kontrak untuk membantu kakitangan terkesan melalui fasa peralihan. DLMI komited untuk menyokong kesemua kakitangan dan memastikan kelangsungan perniagaan, bekerjasama rapat dengan rakan niaga kami,” katanya.

Ramjeet berkata selain pampasan kewangan, DLMI membawakan pakar yang sesuai untuk membimbing kakitangan yang terkesan, menganjurkan bengkel kerja berkaitan kesejahteraan kewangan, keusahawanan serta perniagaan digital untuk mempersiapkan mereka dengan kerjaya selepas meninggalkan syarikat.

“Ini merupakan antara inisiatif yang diusahakan DLMI untuk membantu kakitangan yang terkesan untuk melakukan peralihan,” katanya.

Selain itu, katanya, akan juga ada sokongan peralihan dan perpindahan bagi kakitangan yang berpindah dari kilang di Petaling Jaya ke Bandar Enstek serta program menambah kemahiran dan kemahiran semula kerana ia adalah kilang pembuatan yang berasaskan teknologi tinggi.

“Kami juga bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan untuk melihat pilihan perumahan dan persekolahan bagi mereka yang berpindah. Juga akan ada perkhidmatan pengangkutan ulang alik dari lokasi strategik di sini.

Rancangan pembinaan negara dan model perniagaan masih kekal utuh

“Model perniagaan DLMI kekal sama, stabil dan kukuh. Sebagai barisan pengurusan DLMI, kami perlu membuat keputusan dengan memberi fokus pertimbangan komersil yang menyeluruh demi mewujudkan nilai yang lestari untuk jangka panjang agar DLMi terus berjaya dalam pasaran,” kata Ramjeet.

Melalui perpindahan ke Bandar Enstek kelak, DLMI komited untuk menyediakan produk berkhasiat berkualiti tinggi, Halal dan mampu milik untuk masa depan.

“Dengan pelaksanaan teknologi Industri 4.0 di kemudahan pengilangan baharu itu, DLMI berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan kecekapan operasi untuk terus berjaya di Malaysia dan pasaran pada masa depan,” katanya.

Penerapan inovasi baharu akan membolehkan organisasi memenuhi pertumbuhan pengeluaran tenusunya dan memberi manfaat yang besar kepada industri tenusu tempatan yang semakin berkembang di samping meningkatkan kualiti dan jumlah pengeluaran susu mentah tempatan.

Ramjeet berkata. DLMI telah menjadi sebahagian daripada landskap Malaysia sejak 1963 dan menjadi pilihan turun temurun pelbagai generasi dan akan meneruskan peranan penting ini pada masa depan.

“Kami terus menyokong agenda kesihatan kerajaan terutamanya bagi status pemakanan rakyat Malaysia dan jaminan makanan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon