N.Sembilan lancar Dokumen Pembangunan Ekonomi dan Pelan Ekonomi Digital - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


N.Sembilan lancar Dokumen Pembangunan Ekonomi dan Pelan Ekonomi Digital

N.Sembilan lancar Dokumen Pembangunan Ekonomi dan Pelan Ekonomi Digital

06 Dis 2022

Kerajaan Negeri Sembilan hari ini melancarkan Dokumen Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 (RPNS 2021-2025) dan Dokumen Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 (PEDNS 2027) bagi menggariskan pelaksanaan dasar pembangunan sektor ekonomi dalam negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerangka RPNS 2021–2025 adalah komprehensif selain penyumbang kepada kemajuan ekonomi setempat yang memanfaatkan sumber tempatan, mengurangkan jurang perbezaan kualiti hidup penduduk bandar dan luar bandar serta memperkasakan infrastruktur.

“Ia juga menyediakan hala tuju intervensi dasar yang melangkaui 2025 dengan sebahagiannya adalah bersifat jangka panjang seperti pembangunan dan pengoperasian aktiviti pemangkin ekonomi di wilayah MVV 2.0.

“Dengan mengambil kira jangkaan ekonomi negara akan mencapai tahap prapandemik pada 2023, keadaan ini dijangka turut mempengaruhi magnitud pergerakan ekonomi negeri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dokumen berkenaan di sini hari ini.

Aminuddin berkata PEDNS 2027 yang bertujuan merancakkan pembangunan ekonomi digital di seluruh negeri sehingga 2027 itu pula bermatlamat memastikan pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) di peringkat nasional adalah sejajar dengan peringkat negeri.

Beliau berkata pelan itu sebagai rujukan bagi menetapkan sasaran pencapaian negeri lima tahun akan datang melalui penetapan bidang keutamaan sejajar dengan hala tuju Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kandungan utama PEDNS 2027 terbahagi kepada empat komponen iaitu ekosistem ekonomi digital Negeri Sembilan, visi dan hala tuju serta struktur tadbir urus selain kajian keberkesanan dan perancangan masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, pembangunan ekonomi digital di negeri ini dapat dilaksanakan melalui tiga pendekatan iaitu kerajaan yang dipacu oleh pendigitalan, industri berpaksikan pendigitalan dan rakyat negeri dengan literasi digital yang baik.

“Rakyat perlu diberi peluang untuk meningkatkan tahap kemahiran digital bagi memastikan inklusiviti digital berlaku secara sistematik sekali gus selari dengan perkembangan bidang ekonomi digital yang bakal mengubah keseluruhan landskap ekonomi global,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi RPNS 2021-2025, kerajaan negeri menetapkan sasaran termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus berbanding 2.6 peratus pada 2016-2019 serta KDNK per kapita RM46,534 berbanding RM41,079 (2016-2019).

“Kerajaan negeri turut menyasarkan untuk mentransformasikan perkhidmatan kerajaan kepada 100 peratus perkhidmatan digital, meningkatkan pendapatan per kapita rakyat negeri melebihi RM50,000 selain merekodkan lebih 6 peratus hasil KDNK dalam bidang perkhidmatan digital,” katanya.

RPNS 2021 – 2025 mengandungi 13 bab dengan tiga tema iaitu kemampanan ekonomi, kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan kelestarian alam sekitar serta disokong oleh dasar yang antaranya menumpukan usaha membangunkan infrastruktur dan kemudahan teknologi maklumat.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon