Kilang baharu Lanco Integrated akan mula lakukan penghantaran produk menjelang akhir tahun - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kilang baharu Lanco Integrated akan mula lakukan penghantaran produk menjelang akhir tahun

Kilang baharu Lanco Integrated akan mula lakukan penghantaran produk menjelang akhir tahun

08 Dis 2022

Syarikat automasi berpangkalan di Amerika Syarikat, Lanco Integrated, menjangka kilang pembuatannya yang baru dilancarkan di Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) di sini akan mula melakukan penghantaran produk pada akhir tahun ini.

Naib presiden jualan dan pemasarannya Barry Rahimian berkata pembinaan kilang baharu itu yang juga menandakan pemindahan ibu pejabatnya di Asia ke Pulau Pinang dari Hong Kong, akan memasang, mereka bentuk dan membina sistem pemasangan automasi siap guna tereka bentuk mengikut pesanan.

“Sistem itu digunakan dalam pelbagai industri termasuk industri perubatan, industri komersial, automotif, aeroangkasa, produk pengguna dan banyak lagi.

“Kira-kira US$3 juta diperuntukkan bagi pembinaan kilang ini dan ia dijangka mewujudkan kira-kira 15 hingga 20 peluang pekerjaan,” katanya kepada pemberita pada majlis pembukaan rasmi kilang tersebut di sini, hari ini.

Mengulas mengenai alasan di sebalik pemindahan ibu pejabat Asianya, Rahimian berkata Pulau Pinang menawarkan platform menyeluruh yang disokong oleh tenaga kerja serba boleh, infrastruktur yang meyokong dan kluster industri kukuh.

Menurutnya, ini akan membolehkan pemain industri menikmati manfaat besar dari segi kelebihan operasi.

“Kami percaya kilang ini akan memainkan peranan penting dalam menjadikan Lanco sebagai syarikat automasi utama untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata terdapat perancangan untuk mengembangkan kilang pembuatan itu serta membuka pejabat jualan dan perkhidmatan di Malaysia dan rantau ini seperti di Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Sementara itu, exco perdagangan, industri dan pembangunan keusahawanan Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain berkata negeri itu berbesar hati menjadi lokasi pilihan bagi kilang pembuatan baharu Lanco itu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon