Perodua Akan Manfaatkan Pertumbuhan Dicapai, Kembangkan Kapasiti Pada 2023
05 Jan 2023
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai setakat ini dan mengembangkan lagi kapasitinya pada 2023.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata dalam merealisasikannya, pengeluar kereta itu berharap harga bahan mentah dan bahan api kekal terurus.
“Pada masa sama, kami turut berharap pertukaran mata wang asing dan kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainal Abidin berkata jika faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaannya.
“Buat masa ini, keutamaan kami ialah menghantar kenderaan Perodua kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.
Pengeluaran syarikat meningkat 49.5 peratus kepada 289,054 unit pada 2022 berbanding 193,400 unit pada 2021 manakala jualan menyaksikan peningkatan sebanyak 48.2 peratus kepada 282,019 unit berbanding 190,291 kenderaan yang didaftarkan pada 2021.
Selepas jualan pula menyaksikan jumlah pengambilan meningkat kepada 2.6 juta, iaitu kenaikan sebanyak 30 peratus daripada 2.0 juta pengambilan servis pada 2021.
Zainal Abidin berkata Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu dalam produk dan perkhidmatannya pada masa depan serta melabur dalam inovasi teknologi bagi operasinya.
“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga kami, iaitu pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif.
“Kami akan mengumumkan senarai penuh sasaran kami pada bulan ini dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan yang berterusan, rakan kongsi kami atas dedikasi mereka, kakitangan Perodua atas pengorbanan dan kerja keras mereka serta para pelanggan kami yang dihargai atas sokongan setia mereka,” katanya.
Sumber: Bernama