Jumlah perdagangan 2022 Malaysia-Indonesia bakal berkembang lebih 30 peratus - Tengku Zafrul - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jumlah perdagangan 2022 Malaysia-Indonesia bakal berkembang lebih 30 peratus – Tengku Zafrul

Jumlah perdagangan 2022 Malaysia-Indonesia bakal berkembang lebih 30 peratus – Tengku Zafrul

09 Jan 2023

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia bagi tahun 2022 bakal berkembang lebih 30 peratus berbanding 2021.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, ia berikutan peningkatan aliran perdagangan dua hala bagi barangan dan perkhidmatan selepas pembukaan semula sepenuhnya sempadan kedua-dua negara pada tahun lalu.

Tengku Zafrul berkata, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia, MITI dan agensi-agensinya yang berkaitan telah menyatakan komitmen untuk terus berusaha bagi mengembangkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dengan Indonesia.

“Di kalangan negara-negara ASEAN, Indonesia merupakan rakan dagangan Malaysia yang kedua terbesar. Dari sudut sumber pelaburan langsung asing (FDI) pula, Indonesia merupakan yang ketiga terbesar. Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia adalah sekitar USD23 bilion pada 2021, peningkatan 45.5 peratus tahun ke tahun berbanding 2020.

“Bagi tempoh Januari-November 2022, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara telah melebihi AS$27 bilion, iaitu peningkatan lebih 33 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, dari segi pelaburan, MITI akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia, di mana antara bidang kerjasama yang bakal diterokai meliputi farmaseutikal, aeroangkasa, pemprosesan minyak sawit, barangan pengguna, serta pertahanan dan keselamatan.

Ini dicerminkan menerusi pertukaran sembilan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia, dengan jumlah nilai potensi pelaburan melebihi RM1.6 bilion.

MITI juga telah menerajui perbincangan dua hala mengenai potensi pelaburan dan projek pembangunan oleh syarikat-syarikat tempatan di ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri pada Ahad turut menyaksikan penyerahan sebelas Surat Niat oleh sepuluh syarikat Malaysia, yang telah menzahirkan hasrat untuk turut serta di dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia.

“Syarikat-syarikat ini mempunyai kepakaran dan kelayakan di dalam bidang-bidang seperti E&E, automotif, pembuatan barangan industri, pengurusan sisa, teknologi bandaraya pintar, perumahan, penjagaan kesihatan, kejuruteraan M&E, utiliti dan tenaga lestari,” tambahnya.

Cadangan usahasama bagi manfaat bersama kedua-dua negara itu juga katanya turut dibincangkan di dalam pertemuan diantara MITI dengan Menteri SyarikatSyarikat Awam Indonesia, dan Menteri Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan.

“Pertemuan juga turut diatur dengan Menteri-menteri lain yang bakal ditemui esok (hari ini) iaitu Menteri Perindustrian Indonesia, Menteri Kerja Raya dan Perumahan, serta Menteri Perdagangan,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon