MIDA galak PKS guna pakai IR4.0 untuk maksimumkan potensi
11 Jan 2023
Ekonomi Malaysia ketika ini berdepan dengan cabaran perubahan pesat landskap perindustrian susulan kemunculan Industri 4.0 yang juga dikenali sebagai Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0 atau 4IR),
Susulan itu, industri perlu melakukan perubahan dalam cara mereka beroperasi dengan menumpukan kepada peningkatan pertukaran data dan automasi dalam teknologi pembuatan.
Perubahan landskap perindustrian ini menyediakan peluang bagi industri Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melabur dan mengguna pakai teknologi baharu agar menjadikan mereka lebih cekap dan kompetitif.
IR4.0 UNTUK TINGKAT EKONOMI
Pada 2021, PKS menyumbang hanya 12 peratus kepada eksport negara berbanding sasaran 25 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), manakala sumbangannya kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berjumlah 37 peratus pada 2021 berbanding sasaran 45 peratus dalam RMK-12.
Justeru, PKS perlu digalakkan untuk mengguna pakai IR4.0 untuk memaksimumkan potensi mereka dan membuat sumbangan yang lebih besar kepada nilai eksport negara dan seterusnya menjadi enjin pertumbuhan ekonomi, kata pengarah eksekutif advokasi dasar pelaburan (perkilangan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Masni Muhammad.
“Dari segi kos operasi dan buruh, kita mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan IR4.0 dan teknologi terkini untuk kekal berdaya saing dengan rakan serantau kita seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand.
“Dengan melabur dalam jentera canggih dan mengguna pakai teknologi, PKS boleh meningkatkan produktiviti mereka dan kekal kompetitif dalam pasaran global. Marilah kita manfaatkan peluang luar biasa ini untuk mencapai pertumbuhan dan meraih kejayaan,” katanya kepada Bernama.
Bagi memastikan Malaysia mendapat manfaat optimum daripada IR4.0, Masni berkata kerajaan telah melancarkan Dasar 4IR Negara pada Julai 2021 untuk menyediakan panduan dan menggalakkan kesepaduan dalam mencapai agenda 4IR.
Dasar 4IR melengkapkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dalam memacu agenda pembangunan ekonomi digital.
KEMUDAHAN SOKONGAN KEWANGAN BAGI PKS
Sebagai sebahagian daripada strategi IR4.0 yang diselaraskan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melantik MIDA sebagai agensi pelaksana bagi kemudahan sokongan kewangan yang dikenali sebagai Dana Intervensi Industry4WRD.
Dana itu akan menyediakan kepada PKS yang layak geran berjumlah sehingga RM500,000 bagi asas padanan (70:30), berasaskan kepada perbelanjaan yang layak.
Maksimum 30 peratus daripada amaun padanan (70 peratus daripada jumlah geran) akan diberikan terlebih dahulu kepada syarikat dan baki geran akan dibayar balik.
Masni berkata sebanyak 281 PKS diluluskan untuk menerima kemudahan sokongan kewangan dari 2020 sehingga 2022, dengan nilai geran berjumlah RM101.4 juta.
Daripada jumlah itu, 82 PKS diluluskan bagi dana tersebut pada 2020, 111 pada 2021 dan 88 pada 2022.
Selain itu, terdapat juga insentif yang dikenali sebagai Elaun Modal Automasi yang menggalakkan syarikat pembuatan dan perkhidmatan untuk mengguna pakai automasi dan meningkatkan produktiviti mereka menerusi pelaburan dalam mesin dan peralatan automatik.
Bagi insentif ini, kerajaan menyediakan Elaun Modal Automasi sebanyak 200 peratus ke atas perbelanjaan RM4 juta pertama yang ditanggung untuk industri berintensifkan buruh dan 200 peratus bagi perbelanjaan RM2 juta pertama untuk industri lain, termasuk perkhidmatan.
PROGRAM STRATEGIK UNTUK PERKASA PKS DALAM IR4.0
MIDA juga merangka program strategik untuk terus membantu penubuhan dan pengembangan syarikat multinasional, syarikat besar tempatan dan syarikat bersaiz sederhana di Malaysia.
Masni berkata MIDA yang dilengkapi dengan ekosistem yang tersusun dan lengkap menggalakkan kerjasama strategik antara syarikat domestik dengan syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan tempatan dengan keupayaan teknologi.
“Program Ekosistem Transformasi Digial MIDA-Perodua yang dilancarkan pada 2020 menjadi pemacu utama yang memacu keupayaan pemain automotif tempatan di Malaysia.
“Inisiatif ini berjaya menjadikan pemain tempatan terus kekal kompetitif dan bergerak seiring dengan kemajuan industri automotif yang sentiasa berkembang.
“Menerusi beberapa siri pemudahan, semua vendor telah memulakan usaha digitalisasi mereka yang mengambil masa tiga tahun untuk melengkapkan projek (IR4.0),” katanya.
Selain itu, Masni berkata MIDA bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) sejak tahun lepas bagi penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) untuk menyelaras dan memudahkan semua pelaburan digital di Malaysia, sejajar dengan sasaran kerajaan untuk menarik RM70 bilion pelaburan dalam digitalisasi menjelang 2025.
“Penubuhan DIO tepat pada masa dan seiring dengan evolusi landskap pelaburan global ke arah digitalisasi dan IR4.0, mewujudkan nilai unik dan menarik bagi projek digital.
“Kluster pendaya digital termasuk infrastruktur pusat data, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan analisis data raya mengembangkan peluang bagi perkhidmatan sokongan, pekerjaan mahir dan meningkatkan kemahiran produktiviti dalam kalangan komuniti perniagaan besar dan kecil,” katanya.
PROSPEK MASA DEPAN
Masni berkata MIDA telah mengemukakan cadangan baharu kepada kerajaan, terutamanya untuk meningkatkan penggunaan teknologi dan automasi dalam kalangan syarikat tempatan, khususnya PKS.
“Dari segi pembangunan perindustrian, fokus adalah untuk memastikan PKS mengguna pakai teknologi, mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan meningkatkan produktiviti,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggesa PKS agar memanfaatkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diratifikasikan kerajaan tahun lepas.
“Apabila kita memeterai perjanjian perdagangan bebas, akan ada manfaat dari segi kita boleh memasuki pasaran lain, mengembangkan perdagangan dan eksport kita serta banyak lagi, tetapi tidak dinafikan bahawa PKS berdepan dengan cabaran khusus berikutan peningkatan persaingan, manakala sebahagian daripada mereka mungkin belum cukup bersedia
“Oleh itu, kita perlu menambah baik daya saing kita dengan mengguna pakai teknologi, meningkatkan inovasi serta penyelidikan dan pembangunan untuk mengembangkan keupayaan mereka dan memantapkan prestasi,” katanya.
Sumber: Bernama