Selangor jangka pelaburan meningkat susulan pembukaan semula sempadan China
16 Jan 2023
Selangor optimis menerima peningkatan pelaburan susulan pembukaan semula sempadan China sejak 8 Jan lepas, walaupun pertumbuhan ekonomi negara dijangka berdepan persekitaran mencabar pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata Asia Tenggara masih lagi menjadi tumpuan pelabur asing yang menjadikan rantau ini sebagai transit terutamanya dari China ekoran lanjutan perang perdagangan antara negara itu dan Amerika Syarikat (AS).
“Pada tahun lepas dan khususnya sejak tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kita (kerajaan Selangor) memperoleh banyak pelaburan daripada China,” katanya pada sidang media berkenaan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri Selangor di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Teng berkata, kerajaan negeri telah merangka pelbagai jenis program dan insentif dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi seperti pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025.
“Selangor sudah bersiap sedia untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang khususnya dengan adanya RS-1 yang merupakan satu rancangan untuk kita usahakan dalam tempoh lima tahun. Kita menjangkakan akan melihat hasilnya (RS-1) selepas lima tahun dan kita akan mencapai kejayaannya pada tahun kesepuluh,” katanya..
Menurutnya, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2023 menetapkan sasaran RS-1 dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebangsaan pada tahap 30 peratus berbanding 24.8 peratus tahun lalu.
Sumber: Bernama