Misi ke Itali tarik potensi pelaburan RM3.25 bilion
24 Jan 2023
Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur dengan terkini menarik potensi pelaburan langsung asing (FDI) RM3.25 bilion dari Itali, yang dijangka direalisasikan tahun ini dan seterusnya.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan berkata, beberapa syarikat Itali melahirkan minat untuk melabur di Malaysia pada sesi lawatan kerja Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Itali pada 20 hingga 23 Januari 2023.
Ia berkata, lokasi strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN dan rantau Asia Pasifik menjadi daya tarikan kepada syarikat negara itu untuk melabur di negara ini.
“Selaras dengan komitmen kerajaan menyokong perniagaan, pelaburan dan perdagangan, kementerian dan agensi bersiap sedia untuk meningkatkan hubungan dengan pelabur yang membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti yang akan membantu mewujudkan pekerjaan dengan gaji lebih baik untuk rakyat Malaysia.
“Dari sudut FDI, negara kita sudah pun diiktiraf lokasi strategiknya di Asia Tenggara, ekosistem industri yang pelbagai dan kumpulan bakat yang berkelayakan.
“Apa yang menjadi kunci sekarang adalah untuk menangani semua titik kesukaran dalam perjalanan pelabur bagi menambah baik keseluruhan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman, berkata sebagai negara perindustrian dan berorientasikan perkhidmatan yang utuh, Malaysia menuju ke peringkat pembangunan seterusnya apabila ekonomi menjadi lebih pelbagai bagi memenuhi bidang pertumbuhan baharu.
Beliau berkata, MIDA terus mengalu-alukan FDI berkualiti tinggi dari seluruh dunia, termasuk dari Itali.
“Pelaburan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia kerana kesannya yang berganda kepada ekonomi dan akan berterusan dalam era pasca pandemik,” katanya.
Semasa lawatan itu, Tengku Zafrul bertemu dan bermesyuarat dengan beberapa pemimpin perniagaan yang berpengaruh dan pelabur berpotensi.
Itali adalah negara pelabur asing kesembilan terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah (EU), yang mana setakat September 2022, sejumlah 77 projek pembuatan dengan penyertaan Itali dilaksanakan membabitkan jumlah pelaburan AS$382 juta (RM1.4 bilion), mewujudkan 4,346 peluang pekerjaan.
Sebagai salah satu negara yang mewujudkan banyak syarikat berteknologi tinggi bertaraf dunia di peringkat global, Itali mampu menawarkan banyak teknologi terkini dan kepakaran pendigitalan.
Oleh itu, kehadiran syarikat Itali di Malaysia dilihat penting untuk memudahkan pemindahan teknologi kepada mewujudkan lebih ramai pekerja berpengetahuan Malaysia.
Teknologi hijau di Itali juga kritikal untuk menyokong objektif strategik jangka panjang Malaysia untuk menarik pelaburan dengan pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) negara.
Sumber: Berita Harian