Intel labur RM30 bilion lagi di Malaysia
19 Jan 2023
Intel memberi komitmen untuk melabur RM30 bilion untuk tempoh lebih 10 tahun bagi mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.
“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan di Intel serta lebih 5,000 pekerjaan dalam bidang pembinaan,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Saya menyambut baik komitmen diberikan Intel dan kerjasama seumpamanya akan diteruskan dengan syarikat-syarikat lain dalam usaha meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya selepas bertemu Ketua Pegawai Operasi Global Intel, Kevyan Esfarjani di sini.
Intel adalah syarikat pengeluar semikonduktor terbesar di dunia dan antara perintis industri elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia, operasi syarikat itu bermula pada tahun 1972.
Pada 2021, Intel Corp mengumumkan pelaburan untuk membina kilang pembungkusan dan ujian cip baharu di Malaysia yang dijangka memulakan operasi pada 2024.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan Presiden P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Suranjan, Magesvaran serta Naib Presiden Hubungan Kerajaan Global dan Dasar Awam, P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Cecilia Tan.
“P&G juga memberi komitmen untuk melabur lebih banyak di Malaysia. Kami juga membincangkan peluang-peluang di Malaysia,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga akan menerima satu lagi pelaburan besar dalam sektor logistik.
“Saya akan berjumpa dengan mereka. Ia hari yang produktif, saya juga akan bertemu beberapa rakan sejawatan saya dari rantau berkenaan,” katanya.
Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand, Damien O’Connor dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Antwerp-Bruges, Jacques Vandermeiren.
Terdahulu, awal hari ini beliau menghadiri satu sesi tertutup, ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ (Perdagangan Global: Mengemudi Cabaran Rantaian Bekalan Pasca Pandemik).
Sumber: Bernama