Prestasi ekonomi bukti Malaysia diyakini, kekal dalam radar pelabur
10 Feb 2023
Data prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh pada 2022 jelas membuktikan kalangan pelabur global terus yakin terhadap negara ini serta komitmen kerajaan untuk memastikan kelangsungan kestabilan makroekonomi, kata penganalisis dan ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata antara pemacu utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkenaan adalah permintaan domestik yang mantap, aliran masuk pelaburan serta angka perdagangan yang kukuh.
“Malaysia terus kekal dalam radar pelabur global berikutan kestabilan makroekonomi, tenaga kerja yang produktif, prasarana serba moden, pendekatan dasar yang dipacu teknologi serta kedudukan geografi yang strategik.
“Dari sudut makro secara keseluruhannya, kami kekal optimis terhadap prospek ekonomi dan trajektori pertumbuhan negara ini. Malah, Malaysia terus menjadi antara peneraju utama ekonomi ASEAN walaupun dalam senario ketidaktentuan ekonomi dan kewangan global,” katanya kepada Bernama.
Susulan itu, Shan berkata firma berkenaan menjangkakan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 berada dalam lingkungan 4.5 peratus dan 5.5 peratus.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata KDNK Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 22 tahun apabila mencecah 8.7 peratus pada 2022 berbanding 3.1 peratus dalam 2021 selepas mencatat perkembangan positif dalam semua sektor.
Bank Negara Malaysia (BNM) pula dalam kenyataan berasingan berkata pertumbuhan KDNK bagi suku keempat meningkat 7.0 peratus dalam suku keempat 2022 daripada 14.2 peratus pada suku ketiga berikutan sokongan daripada langkah rangsangan serta kesan asas rendah yang mereda.
Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, menyifatkan data KDNK suku keempat 2022 itu hanya mengesahkan lagi prestasi memberangsangkan bagi 2022 susulan pertumbuhan di bawah purata pada 2021, sekali gus menjadikan Malaysia antara ekonomi paling pesat berkembang di Asia.
“Bagaimanapun, prestasi kukuh yang meluas itu tidak setara dari sudut rentas sektor serta bagi setiap industri yang berkaitan.
“Ini turut menandakan keuntungan yang tidak sama rata merentasi kumpulan pendapatan sehingga memerlukan bantuan lanjut kerajaan bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas akibat inflasi tinggi dan kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Mengulas prospek 2023, Ambank Group menyifatkan faktor domestik sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan penggunaan swasta turut menjadi nadi pertumbuhan ketika pasaran tenaga kerja pulih serta inflasi menjadi lebih stabil.
“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan pertumbuhan KDNK tahun ini pada 4.5 peratus berikutan unjuran pertumbuhan 6.1 peratus untuk penggunaan swasta,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh RHB Investment Bank Bhd yang mengekalkan unjuran KDNK 2023 pada 4.5 peratus dari segi pandangan optimis namun berhati-hati, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
“Perbelanjaan pengguna akan terus disokong baik oleh keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan biarpun terdapat momentum pertumbuhan lebih perlahan akibat kesan rangsangan dan dasar kewangan lebih ketat,” katanya.
Dalam pada itu, MIDF Research mengujurkan KDNK Malaysia bagi tahun ini sekitar 4.2 peratus, diasak oleh tekanan luaran dan langkah kebanyakan negara memperketat dasar monetari.
“Pertumbuhan lebih perlahan itu adalah disebabkan oleh prestasi perdagangan luar yang lebih rendah akibat jangkaan permintaan global yang lebih perlahan.
“Oleh itu, kami mengunjurkan tahun ini menyaksikan keadaan ekonomi global yang lebih lembap dan bukannya meleset,” katanya.
Sumber: Bernama