Hong Seng ambil alih Alliance EV untuk lengkapi projek pembuatan bateri EV
13 Feb 2023
Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) telah mengambil alih Alliance EV Sdn. Bhd. (AEV), cabang perniagaan kenderaan elektrik (EV) CSH Alliance Berhad untuk melengkapkan kerjasama terbaharu Kumpulan dengan EoCell Inc (USA) (EoCell) dalam pembuatan bateri (EV).
Pengambilalihan tersebut dibuat melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) dengan EoCell bertujuan untuk membolehkan kedua-dua pihak membina dan mewujudkan hab pembuatan serantau di Malaysia bagi pengeluaran bateri EV.
Ia juga akan diteruskan dengan menyediakan penyelesaian storan kuasa lain untuk EV dan menjadi pembekal kepada pengilang, pemasang, serta pengguna EV di rantau Asia Tenggara.
EoCell adalah pemain utama dalam sektor ini kerana keunggulan teknologinya dalam penyelesaian penyimpanan tenaga dan hubungan kerjasama pembuatan di Eropah dan Amerika untuk pasaran tempatan di sana.
Ia juga merupakan penyumbang utama dalam reka bentuk kepada pembuatan bateri PHEV dan EV jenama kereta Eropah yang berprestij dan utama.
Pengarah Eksekutif Hong Seng, Lester Chin berkata, melalui sumber sedia ada AEV, Hong Seng menyasarkan untuk membangunkan kilang pembuatan EV terkini untuk menarik penggunaan EV yang semakin berkembang di Malaysia berikutan peningkatan permintaan dalam pengangkutan mesra alam dan promosi aktif kerajaan terhadap penggunaan EV.
“Kami juga bercadang untuk menjadi pemasang berkontrak untuk jenama dan pemain EV lain demi membantu mereka memudahkan penyediaan pengeluaran CKD di Malaysia pada peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Chin memetik laporan 6Wresearch, yang memaklumkan bahawa, pasaran EV di Malaysia masih dalam peringkat awal dan ia dijangka berkembang dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 27.6 peratus sepanjang 2020-2025.
“Segmen pembuatan bateri EV dan pembuatan EV merupakan perniagaan yang sangat menguntungkan bagi Hong Seng dan kami bertegas untuk memanfaatkan anjakan paradigma daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman bahan api fosil kepada EV di Malaysia.
“Akhirnya, sinergi daripada kedua-dua Projek Volt dan Projek EV akan memperkasakan Hong Senguntuk muncul sebagai pemain bersepadu dengan mendapatkan kedua-dua segmen hiliran huluan dalam rantaian bekalan EV,” jelasnya.
Sumber: Kosmo