Sarawak sasar jadi pengeksport utama produk kayu, perabot - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak sasar jadi pengeksport utama produk kayu, perabot

Sarawak sasar jadi pengeksport utama produk kayu, perabot

13 Feb 2023

Kerajaan Sarawak sedang menumpukan untuk menjadi antara pengeksport utama produk kayu termasuk perabot menjelang 2030, dengan sasaran pendapatan mencecah RM6 bilion.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan melengkapkan Taman Perabot yang dirancang dengan kemudahan digital yang akan membolehkan pereka bentuk merangsang reka bentuk mereka.

Menjelas lanjut, beliau berkata kemudahan digital itu juga mungkin termasuk ‘ChatBot’ kecerdasan buatan (AI) yang boleh menjana jawapan untuk pereka.

“Anda boleh bertanya kepada ChatBot cara mereka bentuk perabot tetapi sudah tentu, pereka tidak dapat bergantung 100 peratus kepada ini namun data yang diperoleh dari sini boleh digunakan sebagai sebahagian daripada penyelesaian anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Minggu Reka Bentuk Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari menambah selain teknologi, kreativiti modal insan juga perlu dipertingkatkan bagi memperkasakan industri perkayuan.

“Industri kayu kita tidak seharusnya terhad kepada kerusi atau meja sahaja tetapi keseluruhan spektrum reka bentuk yang diperlukan dalam pasaran.

“Di sinilah pereka kami mesti melampaui reka bentuk konvensional,” katanya.

Menurutnya pada masa ini, nilai eksport perabot Sarawak masih kecil dengan hanya mencatatkan RM44 juta atau 1.4 peratus daripada jumlah nilai eksport bernilai RM3.1 bilion bagi kayu dan produk kayu ke pasaran dunia.

Katanya daripada jumlah nilai eksport yang dicatatkan antara Januari dan September tahun lepas, RM2.8 bilion adalah eksport daripada papan lapis dan produk utama lain.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mencadangkan agar pemain industri perkayuan melihat penggunaan bahan mentah yang dikitar semula daripada sisa kayu untuk menghasilkan produk mereka.

Beliau berkata Sarawak mempunyai banyak sisa daripada pokok di dalam hutan dan pada masa sama terdapat juga perabot lama yang reka bentuknya tidak lagi relevan.

“Ini boleh digunakan semula sebagai bahan mentah untuk anda menghasilkan perabot moden dengan reka bentuk moden.

“Itu adalah sebahagian daripada ekonomi sekular kita yang seterusnya membolehkan kita melindungi alam sekitar,” katanya.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pengerusi Pusat Reka Bentuk Sarawak (Saradec) Datuk Mohd Naroden Majais dan Ketua Pegawai Eksekutif Saradec, Dayang Nena Abang Bruce.

Sumber: Suara Sarawak

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon