Pelaksanaan dasar, inisiatif nasional akan rancakkan ekonomi – Agong
13 Feb 2023
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pelaksanaan dasar dan inisiatif nasional seperti dasar pelaburan baharu berteraskan aspirasi pelaburan nasional akan merancakkan lagi ekonomi negara dan mencapai sasaran yang diunjurkan.
Seri Paduka bertitah program pembangunan sosioekonomi seperti agenda pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan penerima gunaan teknologi, keusahawanan serta pembangunan modal insan amat perlu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, pada masa sama, kerajaan hendaklah meneruskan usaha memerangi kemiskinan tegar melalui program pembasmian kemiskinan tegar bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada 2025.
“Ini amatlah bertepatan dengan indikator matlamat pembangunan mampan yang pertama iaitu kemiskinan sifar bagi memastikan tahap kemiskinan tegar bertambah baik.
“Industri yang strategik dan berimpak tinggi seperti teknologi hijau dan kenderaan elektrik perlu terus diteroka bagi mencipta aliran pendapatan negara yang baharu,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Kuala Lumpur hari ini.
Seri Paduka bertitah kerajaan juga akan menumpukan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia menjadi destinasi pelaburan pilihan.
“Buktinya, negara mencatat eksport bernilai RM1.552 trilion pada Disember 2022 iaitu peningkatan 25 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.
“Pencapaian ini telah melepasi sasaran jumlah eksport negara tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak RM1.25 trilion menjelang 2025,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah dalam mendepani cabaran agenda pelestarian alam sekitar, kerajaan telah memperkenalkan agenda nasional transformasi sektor air 2040 bagi menjamin kemampanannya.
“Selain dapat menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), transformasi tersebut akan turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta memudah cara pembangunan sains, teknologi dan inovasi serta penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan.
Baginda bertitah sektor agrikomoditi juga memberi sumbangan signifikan kepada KDNK, pendapatan eksport negara dan pembangunan masyarakat luar bandar, khususnya mengurangkan jurang pendapatan serta kadar kemiskinan penduduk.
Bagi tempoh Januari hingga September 2022, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM61.3 bilion iaitu 5.5 peratus dari keseluruhan KDNK, titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah Malaysia turut tidak terlepas daripada menghadapi inflasi serta peningkatan kos sara hidup sepertimana kebanyakan negara lain.
“Bagi mendepani permasalahan ini, beta mengalu-alukan usaha untuk memperkasa fungsi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.
“Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan diperkasa dengan menerap dan meningkatkan pendekatan secara menyeluruh kekuatan negara melibatkan pengeluar, peniaga, pengguna dan semua agensi kerajaan,” titah baginda.
Sumber: Bernama