Agong sambut baik matlamat jadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Agong sambut baik matlamat jadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi

Agong sambut baik matlamat jadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi

13 Feb 2023

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi melalui usaha pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Bagi menyokong usaha tersebut, penyediaan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan digital perlu terus dipertingkatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional tahun 2030,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Seri Paduka bertitah kerajaan juga sentiasa prihatin akan nasib rakyat ekoran kesan kenaikan kadar inflasi global, kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat serta fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus mengambil langkah untuk meringankan beban kalangan penternak, petani dan pengeluar makanan susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan agar kelangsungan pengeluaran makanan negara berada pada tahap optimum dan aspek keterjaminan makanan negara kekal pada tahap terbaik,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah mengingatkan agar ekosistem industri juga hendaklah sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring dengan perkembangan semasa.

Selain itu, baginda bertitah bahawa pelan jalinan digital negara telah dibangunkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara supaya rakyat dapat menikmati peluang yang bakal diwujudkan oleh teknologi tersebut dan seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara.

“Pada 2021, ekonomi digital telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan e-dagang merupakan sektor yang paling pesat berkembang,” titah Seri Paduka.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon