Gaw Capital Partners, A3 Capital melabur secara bersama dalam pusat data internet
23 Feb 2023
Gaw Capital Partners, firma ekuiti persendirian hartanah, telah membentuk usaha sama (JV) dengan A3 Capital untuk melabur dalam pembangunan greenfield dan aset Pusat Data Internet (IDC) yang kurang berprestasi di seluruh pasaran utama di rantau Asia Tenggara.
Kerjasama itu bertujuan untuk mewujudkan portfolio aset pusat data yang diperakui Peringkat-3, membentuk platform JV dengan pelancaran Pusat Data Infinaxis di Cyberjaya, menurut kenyataan bersama oleh rakan kongsi Infinaxis, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pengarah Urusan Gaw Capital Partners dan Ketua Platform IDC untuk Asia (kecuali China) Kok Chye Ong berkata, syarikat itu yang bekerjasama dengan Infinaxis Data Center Holdings, akan membangunkan, memperoleh atau menempatkan semula empat hingga lima pusat data di lokasi berbeza di seluruh Asia Tenggara.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pertumbuhan data Internet dalam bidang ini telah dipercepatkan lagi oleh transformasi digital perusahaan dan penembusan 5G yang berterusan.
“Selain itu juga, beberapa inisiatif kerajaan sejak sedekad lalu telah menjadikan Malaysia sebagai pasaran yang menarik untuk pusat data. Bagaimanapun, bekalan pusat data yang berkualiti tidak memenuhi permintaan teknikal daripada pelanggan. Kami berharap dapat meneroka lebih banyak peluang pelaburan dalam pasaran ini,” katanya.
Pelaburan di Cyberjaya terdiri daripada dua tapak greenfield dengan keluasan plot gabungan seluas 12,490 meter persegi.
“Platform JV ini akan membangunkan kemudahan IDC dengan beban teknologi maklumat (IT) 12 MW di salah satu plot. Kapasiti IT berpotensi meningkat dua kali ganda pada masa hadapan, dengan plot kedua akan dibangunkan sebagai tapak pengembangan,” kata kenyataan itu.
Aset-aset pusat data di bawah platform JV akan dikendalikan oleh Infinaxis, yang dikendalikan oleh pasukan pusat data yang berpengalaman yang asalnya di bawah A3 Capital.
Mida dan MDEC mengalu-alukan perkongsian JV yang dibentuk oleh Gaw Capital Partners dan A3 Capital untuk melancarkan platform Infinaxis Data Centre kerana ia meningkatkan infrastruktur digital di Malaysia.
Kenyataan itu juga mengatakan bahawa platform JV itu komited untuk menggabungkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat.
Sumber: Bernama