Belanjawan 2023: MITI terima peruntukan RM1.59 bilion untuk pacu pelaburan, perdagangan mampan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Belanjawan 2023: MITI terima peruntukan RM1.59 bilion untuk pacu pelaburan, perdagangan mampan

Belanjawan 2023: MITI terima peruntukan RM1.59 bilion untuk pacu pelaburan, perdagangan mampan

24 Feb 2023

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi di bawahnya menerima peruntukan berjumlah RM1.59 bilion menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan hari ini.

Kementerian itu berkata jumlah tersebut meliputi peruntukan mengurus sebanyak RM625 juta dan peruntukan pembangunan bernilai RM960 juta.

“Peruntukan ini secara jelas membuktikan kerajaan MADANI komited dalam merencanakan pembangunan negara secara inklusif dan holistik seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan dan perdagangan serta sebagai pintu masuk ke rantau Asia,” kata MITI dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Belanjawan 2023 dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

MITI berkata tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan industri, perdagangan antarabangsa dan pelaburan tempatan dan asing, kekal utuh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, menambahbaik daya tahan rantaian bekalan dan memperkasa pembangunan modal insan Malaysia.

Kementerian yang diterajui oleh Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu juga sedang memperbaharui dan mengemaskini Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, ia akan mengupas isu-isu utama.

Ia termasuk reformasi struktur, meningkatkan kepelbagaian ekonomi negara, mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk industri sasaran, serta membina kapasiti perusahaan kecil dan sederhana untuk menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memenuhi permintaan pasaran global.

Seperti yang diumumkan di dalam ucapan Belanjawan 2023, NIMP 2023 yang diperbaharui itu dijangka siap pada suku ketiga 2023, kata MITI.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon