Kerajaan mahu tingkat kadar realisasi pelaburan asing - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan mahu tingkat kadar realisasi pelaburan asing

Kerajaan mahu tingkat kadar realisasi pelaburan asing

01 Mac 2023

Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kadar realisasi pelaburan langsung asing (FDI) lebih tinggi berbanding 30 peratus yang dicatatkan sejak tiga tahun lalu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata sejak beberapa tahun lalu sejumlah RM200 bilion FDI telah diluluskan, tetapi hanya 30 peratus dapat direalisasikan kerana kemahiran yang dimiliki bakat tempatan tidak memenuhi keperluan pelabur asing.

Justeru, katanya, langkah perlu diambil untuk meningkatkan kadar realisasi FDI termasuklah menangani ketidakpadanan kemahiran dalam pekerjaan meningkatkan pekerjaan.

“Kami berharap dapat merapatkan jurang melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula supaya kita dapat memanfaatkan nilai FDI yang diluluskan untuk berkembang dalam ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan institut penyelidikan dan latihan Perancis, IFP Energies Nouvelles (IFPEN) di sini, hari ini.

Yang turut serta, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar; serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif IFPEN, Pierre-Franck Chevet.

Rafizi berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu sebenar ekonomi bukannya kemasukan FDI, sebaliknya mengenai merapatkan jurang antara apa yang diperlukan pelabur dari aspek tenaga kerja dengan apa yang dimiliki negara.

“Itulah sebabnya dalam ekonomi sekarang ada ketidakpadanan. Rakyat bercakap mengenai tidak mempunyai pekerjaan atau perlu melakukan pekerjaan bergaji rendah. Namun apabila anda melihat senarai pekerjaan dan apabila bercakap dengan industri, mereka akan katakan mengenai kekurangan bakat.

“Sesebuah syarikat memutuskan untuk memasuki Malaysia kerana mahu mengembangkan kehadiran mereka dan salah satu cabaran besar sebenar di sini adalah tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata, MoU antara MPRC dan IFPEN boleh menjadi contoh dalam merapatkan jurang ketidaksepadanan kemahiran supaya mereka yang berkaitan dapat dilatih dengan kepakaran khusus.

“Kerajaan perlu bekerjasama dengan industri dan pelabur untuk membawa kemahiran dan diharapkan kurang enam bulan atau setahun sebaik sahaja angka rasmi diumumkan dengan angka realisasi FDI yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, MoU antara MPRC dan IFPEN menyaksikan kedua-dua entiti itu akan meneroka langkah terbaik untuk meningkatkan keupayaan syarikat perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas Malaysia (OGSE) di tengah-tengah peralihan tenaga.

Mohd Yazid berkata, MPRC dan IFPEN akan mencari peluang untuk bekerjasama bagi menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 (Pelan Tindakan OGSE ) serta menyumbang kepada pencapaian matlamat kelestarian Malaysia.

Katanya, ia akan meliputi kawasan termasuk peralihan tenaga dan hala tuju penyahkarbonan; serta pembangunan modal insan dalam bidang berkaitan.

“Dengan perjanjian ini yang ditandatangani MPRC dengan IFPEN iaitu antara institut penyelidikan dan latihan tenaga yang terkemuka di Perancis, kami menjangka dapat meningkatkan hasil Pelan Tindakan OGSE dengan pendedahan kepada peluang baharu untuk syarikat OGSE Malaysia bagi memanfaatkan dan meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang mereka.

“Ini akan mengukuhkan daya tahan syarikat OGSE untuk menangani keperluan perniagaan menerusi Pelan Tindakan OGSE 2030 dan melindungi kemampanan mereka untuk jangka panjang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon