Malaysia jangka mekanisme pelarasan sempadan karbon EU beri impak minimum – Tengku Zafrul
08 Mac 2023
Malaysia menjangkakan enam hingga tujuh peratus daripada sektor akan terjejas pada tahun pertama pelaksanaan mekanisme pelarasan sempadan karbon Kesatuan Eropah (EU).
Malah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata impak di masa depan adalah jauh lebih ketara jika keperluan untuk memenuhi mekanisme tersebut tidak ditangani.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan terus melakukan libat urus dengan agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan bagi membantu kalangan industri negara membuat persediaan dengan perubahan tersebut.
“Kita juga dalam proses memuktamadkan Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) Kebangsaan bagi sektor pembuatan khususnya untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melakukan persediaan melibatkan permintaan global berkaitan ESG,” katanya pada sidang media Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai prestasi pelaburan Malaysia bagi 2022.
Rangka kerja i-ESG itu dijadual siap pada 2024.
Untuk rekod, pada Disember 2022, EU menetapkan mekanisme pelarasan sempadan karbon yang mengenakan cukai ke atas barangan import terpilih dan dijangka berkuatkuasa mulai 2026.
Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata MITI sedang merangka dasar bagi memberi insentif kepada syarikat dan industri yang membantu negara dari segi meletakkan asas untuk dunia lebih mampan dan saksama menerusi usaha melabur dalam infrastruktur hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
“Ini merupakan langkah penting dan perlu bersifat diusahakan negara secara menyeluruh iaitu tepat pada masanya serta perlu bagi memastikan kejayaan jangka panjang,” katanya.
Selain itu, dalam Belanjawan 2023, Malaysia turut mengumumkan inisiatif cukai dan bukan cukai untuk kalangan perniagaan yang menggunapakai teknologi hijau, pembiayaan bagi penyelidikan dan pembangunan dalam industri lestari serta kerjasama mampan dengan syarikat terkemuka.
Sumber: Bernama