Keberhasilan ekonomi ASEAN akan pacu Malaysia dan ekonomi rantau ini - MITI - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Keberhasilan ekonomi ASEAN akan pacu Malaysia dan ekonomi rantau ini – MITI

Keberhasilan ekonomi ASEAN akan pacu Malaysia dan ekonomi rantau ini – MITI

21 Mac 2023

Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) kali ke-29 yang berlangsung di Magelang, Indonesia pada Rabu sepakat menyokong tujuh Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang dirangka Indonesia mengikut bidang kuasa mereka, yang menumpukan tiga Teras Strategik iaitu Pemulihan dan Pembangunan Semula, Ekonomi Digital dan Kemampanan.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), delegasi daripada pihaknya diketuai oleh Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Malaysia yakin PED ini akan memacu Asean ke arah rantau ekonomi yang sangat bersepadu, kohesif, berdaya saing dan dinamik selain menjadi boleh sesuai dan mampan secara digital untuk kesejahteraan dan kemakmuran warganya,” menurut MITI dalam kenyataan di sini.

Pemukiman AEM pertama bagi 2023 ini membincangkan keutamaan dan keberhasilan di bawah Indonesia sebagai pengerusi, dengan tema ‘Asean Matters: Epicentrum of Growth’.

Menurut MITI selain membuat susulan berhubung perkara daripada Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak Berkaitan kali ke-40 dan ke-41 dengan Kemboja sebagai pengerusi tahun lepas, menteri-menteri juga membincangkan pelbagai isu yang penting bagi pembangunan sosio-ekonomi rantau Asean.

Ekonomi Digital terus menjadi Agenda Penting

MITI menambah ekonomi digital terus menjadi agenda penting yang menyokong Hala Tuju Bandar Seri Begawan (BSBR) yang menyasarkan mempercepat visi Asean untuk menjadi blok komuniti dan ekonomi digital terkemuka.

AEM menjangkakan ini dibolehkan oleh perkhidmatan, teknologi dan ekosistem digital yang terjamin dan transformatif.

Menteri-menteri juga mengambil maklum kemajuan kajian berkaitan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang menumpukan asas, kesan dan keterangkuman ekonomi digital terhadap pihak berkepentingan dalam rantau ini.

“Kajian ini dijangka disahkan pada Mesyuarat AEM kali ke-55 pada Ogos 2023, manakala rundingan mengenai DEFA mungkin dilancarkan ketika Sidang Kemuncak Asean ke-43 pada September 2023,” jelas kementerian ini.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa mengambil kira kepentingan agenda kemampanan, Asean juga sedang mengusahakan Strategi untuk Keneutralan Karbon bagi membolehkan rantau ini mengurangkan kesan perubahan iklim dan menggalakkan pembangunan mampan.

Menteri-menteri juga mengambil maklum berkaitan kemajuan kajian untuk merangka strategi yang akan menekankan, antara lain, pembangunan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pasaran, serta ekosistem yang mampan dan inklusif, tambah MITI.

MITI menjelaskan strategi itu sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mencapai status pelepasan karbon sifar bersih pada 2050 serta inisiatif pihaknya untuk menetapkan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi sektor pembuatan.

AEM juga menyokong dan memuji kerja yang dijalankan oleh Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC), memfokuskan lima bidang keutamaan iaitu Transformasi Digital; Pembangunan Mampan; Pemudahan Perdagangan; Daya Tahan Kesihatan; dan Jaminan Makanan, yang menyokong PED oleh Indonesia dan pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2025.

Menurut MITI selain itu AEM menekankan kepentingan kerjasama erat antara sektor swasta dan awam untuk menangani cabaran yang dihadapi rantau ini dan untuk membolehkan usaha merealisasikan Asean yang lebih berdaya saing, bersepadu dan mampan.

Asean-BAC juga akan menyokong inisiatif pembangunan mampan Asean, serta memperkukuh kesalinghubungan, inovasi dan penerimagunaan digital merentas industri untuk melonjakkan daya saing perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua AEM bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan AEC 2025 yang berkesan dan keutamaan seiringnya bagi kemakmuran sosio-ekonomi Malaysia dan Asean,” jelas MITI.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon