Pelaburan RM30 bilion Geely lembaran baru ekosistem EV negara
06 Apr 2023
Syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) akan melabur RM30 bilion bagi pembangunan dan pengkomersilan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.
Ia bakal membuka lembaran baharu ekosistem penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata AHTV itu akan merangkumi rantaian nilai automotif dan mobiliti meluas, merangkumi pusat penyelidikan, pembangunan global berteknologi tinggi, perkhidmatan sokongan dan ekosistem berkaitan untuk industri kenderaan tenaga baharu di Malaysia.
Pada sidang media mengenai hasil lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China hari ini, Chang berkata pelaburan Geely itu adalah seiring dengan kerangka strategik pembangunan EV dalam negara yang dibangunkan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Di bawah kerangka strategik tersebut, kita sasarkan penggunaan EV akan mencecah 38 peratus menjelang tahun 2040, pelaburan ini adalah permulaan yang baik. Ia akan membantu kita membina ekosistem lengkap untuk EV dan saya yakin ia dapat capai 38 peratus,” katanya.
Lih Kang berkata dua lagi syarikat EV dari China, China Harmony Auto Holding Limited dan GAC AION New Energy Automobile Co Ltd juga menunjukkan minat untuk melabur dalam pembangunan EV negara, wakil mereka akan berada di Malaysia pada 8 April ini bagi meninjau ekosistem EV.
Selain itu, MOSTI akan menerima pelaburan berjumlah RM2.5 bilion dari DC-Sciences Co Ltd, syarikat dari China untuk pembangunan pusat data di Sedenak, Johor.
Menjelaskan mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri ke China baru-baru ini, Chang berkata Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah, iaitu berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China, hasil pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dengan China.
“Keseluruhan jumlah pelaburan yang diterima MOSTI adalah RM32.5 bilion daripada jumlah RM170 bilion yang diterima negara hasil lawatan Perdana Menteri ke China,” kata Lih Kang yang turut menyifatkan lawatan tersebut sebagai paling berjaya.
Sumber: Bernama